01 November 2009

KSN Terima Ijazah Kehormat Doktor Pentadbiran Awam

PUTRAJAYA, 31 Okt (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pentadbiran Awam oleh Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) pada majlis konvokesyen kesembilan universiti itu Sabtu.

Majlis penganugerahan itu disempurnakan Canselor UNITAR Tun Rahah Mohd Noah sebagai menghargai jasa beliau dalam memartabatkan perkhidmatan awam.

Mohd Sidek dalam ucapannya berkata beliau berbangga dengan anugerah yang diberikan kerana ia adalah lambang pengiktirafan jasa dan sumbangan seluruh warga perkhidmatan awam yang telah bekerja dengan jujur, ikhlas dan bersungguh-sungguh.

"Saya rasa rendah hati dan kerdil kerana ia dimungkinkan oleh sumbangan sebegitu ramai dalam perkhidmatan awam dan pentadbiran yang telah sama-sama memberi bantuan dan sokongan, kerjasama, nasihat dan bimbingan sama ada yang masih berkhidmat atau yang sudah bersara," katanya.

Mohd Sidek juga berkata perkhidmatan awam yang benar-benar cemerlang adalah apabila semua pelanggan mendapat layanan yang baik dan konsisten daripada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

"Perkhidmatan awam yang tidak membezakan siapa yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan, baik di Putrajaya, Lubuk Antu, Cherok Paloh atau dari mana sahaja...semua akan dilayan dengan prihatin, terhormat dan terbaik," kata beliau.

-- BERNAMA

No comments: