CUEPACS Sambut Baik Program Bekerja Dari Rumah
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan akan memanjangkan program amalan bekerja dari rumah untuk penjawat awam bagi bidang-bidang kerja tertentu, sekiranya program yang dirintis Kementerian Kerja Raya itu didapati berjaya menampilkan hasil yang positif.
Presidennya Omar Osman berkata program seumpama itu dilihat dapat mengurangkan tekanan dan boleh menghasilkan produktiviti lebih baik.
Katanya selain itu ia dapat mengurangkan masalah ruang tempat meletak kenderaan yang sering berlaku di pejabat-pejabat jabatan dan agensi kerajaan.
"Ia merupakan cara paling selamat bagi mereka untuk menghilangkan tekanan yang mungkin berlaku di tempat kerja, dan yang pasti mereka boleh dihubungi pada bila-bila masa di rumah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Sehubungan itu beliau menyambut baik langkah Kementerian Kerja Raya menjadikan 35 pelukis pelan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai perintis program amalan bekerja dari rumah mula 1 Januari ini seperti yang diumumkan Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor pada Rabu.
"Ini adalah satu langkah yang bijak dan bagi Cuepacs, ini merupakan satu percubaan di peringkat agensi. Jika hasilnya positif, Cuepacs akan meminta supaya ia dipanjangkan ke kementerian lain terutama di kalangan penjawat awam wanita," katanya.
Shaziman hari ini mengumumkan bahawa pelukis pelan yang terpilih akan melalui tempoh percubaan selama tiga bulan sebelum kerajaan memutuskan sama ada akan meneruskan atau menghentikan program itu.
Pogram perintis itu dilaksanakan dari 1 Januari sehingga penghujung Mac 2010, dan sekiranya produktiviti didapati tidak menunjukkan peningkatan, program itu akan dibatalkan.
Program yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dijangka membantu kerajaan khususnya Kementerian Kerja Raya, menangani masalah kesesakan di tempat kerja, dan secara tidak langsung turut meringankan beban kepada pekerja terutama dari sudut kos petrol dan tol, manakala penjawat awam wanita boleh memperuntukkan lebih masa bersama keluarga.
-- BERNAMA
2 comments:
saya sokong program bekerja dari rmh.. paling2 pun pekerja blh pilih hari tertentu untuk pegi ofis jika perlu..
Sistem bayaran on-line adalah satu langkah yang bijak dan selaras dengan perkembangan teknologi masa kini. Tetapi apalah gunanya sistem yang bernilai jutaan ringgit tetapi tidak memberi manfaat kepada kebajikan pekerja malah membebankan. Ini kerana ada juga jabatan yang mengenakan peraturan waktu bekerja yang lebih awal ( menyekat pemilihan waktu anjal ) dan membuat surat memo yang memberi amaran tindakan tatatertib akan dikenakan. Bagaimana seseorang yang sememangnya tidak mampu datang pada waktu yang ditetapkan disebabkan urusan-urusan pagi ( menghantar anak-anak ke sekolah, menghantar suami/isteri ke tempat bekerja, melayan kerenah anak-anak kecil dan lain-lain ) dipaksa datang dan akan dikenakan tindakan tatatertib jika tidak dapat datang pada masa yang ditetapkan?
Hal ini memberi tekanan mental dan fizikal, sudahla terpaksa mengubah waktu urusan ahli keluarga, duit terpaksa dikeluarkan kerana tidak dapat berkongsi kereta, bayaran ‘parking’ yang agak mahal, dan lain-lain ditambah pula surat berbau amaran akan dikenakan tindakan tatatertib sekirannya gagal untuk datang pada waktu yang ditetapkan.
Post a Comment