22 November 2009

Kecualikan Pinjaman Perumahan Bagi Petugas Yang Sakit - CUEPACS

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan akan dapat mengecualikan bayaran pinjaman perumahan bagi penjawat awam yang sakit sewaktu dalam perkhidmatan.

Setiausaha Agung Cuepacs Ahmad Shah Mohd Zin berkata pada masa ini hanya mereka yang membuat pinjaman selepas 1 Ogos, 1995 tidak perlu membayar baki pinjaman sekiranya mereka tidak dapat berkhidmat kerana sakit.

Tetapi bagi petugas yang membuat pinjaman sebelum tarikh berkenaan terpaksa meneruskan bayaran pinjaman kerana polisi insuran mereka hanya meliputi kematian dan kebakaran tetapi bukan hilang upaya kekal.

"Ini bermakna penjawat awam tidak perlu menjelaskan baki pinjaman sekiranya mereka meninggal dunia atau rumah mereka terbakar tetapi bukan sekiranya mereka hilang upaya untuk bekerja kerana sakit," katanya.

Faktor itu menyebabkan kira-kira 50,000 petugas awam dipercayai kini menghadapi keadaan sukar.

Cuepacs berharap Pekeliling Perbendaharaan 6/95 dipinda bagi membolehkan semua penjawat awam yang mengambil pinjaman perumahan dilindungi sekiranya mereka hilang upaya kekal tanpa tempoh matang, kata Ahmad Shah.

Sumber daripada industri insuran berkata adalah mudah bagi kerajaan untuk mengatasi masalah itu dengan hanya memeterai kontrak tambahan dengan syarikat insuran bagi memasukkan peruntukan liputan tambahan.

Namun persoalannya siapakah yang harus menanggung kos premium tambahan, kerajaan atau penjawat awam?

-- BERNAMA

No comments: