‘Mudahnya kami dipinggirkan!’
Utusan Online
BARANGKALI umum sudah sedia maklum apa yang sedang terjadi kepada warga Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) seluruh Malaysia. Sebagaimana yang diketahui, kami semua warga kerja MTPN akan ditamatkan kontrak pada 31 Disember 2009.
Dalam erti kata lain kami akan kehilangan pekerjaan yang kami sandang sejak lapan tahun lalu pada 1 Januari 2010.
Akhbar arus perdana termasuk juga media elektronik telah beberapa kali menyiarkan artikel-artikel dan kata- kata yang dipetik daripada mantan Menteri Pelancongan dan Menteri Pelancongan sekarang. Tetapi kebanyakan artikel tersebut tidak memberi justifikasi sepenuhnya terhadap perkara ini dan implikasinya kepada seramai lebih kurang 150 kakitangan, tidak termasuk ahli keluarga mereka.
MTPN ditubuhkan di negeri-negeri melalui satu perjanjian antara kerajaan negeri dengan Kementerian Pelancongan. Antara lain objektifnya adalah untuk memartabatkan industri pelancongan negara. Perjanjian ini ditandatangani pada tahun 2002 dan kebanyakan warga MTPN yang memulakan operasi pejabat MPTN menguruskan pejabat mengikut tatacara pentadbiran dan kewangan kerajaan.
Walaupun kami hanya diikat dengan satu Contract for Service yang longgar tetapi atas rasa patriotisme dan komitmen serta minat yang begitu mendalam terhadap industri ini, maka seluruh kakitangan mencurahkan 100 peratus tenaga dan masa untuk membangunkan industri ini di Malaysia. Pembangunan bukan hanya sekadar perancangan dan pembangunan pemantauan fizikal, tetapi juga perancangan, pembangunan insaniah dan pembentukan reputasi cemerlang kementerian di peringkat negeri.
Menteri Pelancongan ada menyebut bahawa hanya kakitangan yang memberikan perkhidmatan cemerlang sahaja yang akan diserapkan ke Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri-Negeri yang bakal beroperasi pada 1 Januari 2010. Tetapi apakah mekanisme yang diguna pakai bagi menjustifikasikan kecemerlangan dan seterusnya pemilihan mereka ini? Dari segi kelayakan, hampir pasti 80 peratus mereka yang menjawat jawatan pengurus mempunyai sekurang- kurangnya ijazah yang bersesuaian dengan jawatan mereka. Begitu juga dengan kakitangan sokongan mempunyai kelayakan untuk jawatan mereka.
Kami tidak menafikan keperluan untuk menaik taraf MTPN menjadi Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri dan keputusan Kabinet pada tahun 2008 untuk membubarkan MTPN. Semua keputusan itu dibuat setelah mengambil kira bahawa Pejabat Cawangan Kementerian Pelancongan Negeri ini akan mempunyai juridiksi yang lebih mampan serta dapat menjalankan tugas perancangan, pembangunan dan pemantauan fizikal dan isaniah. Juga penganjuran program dan acara serta lain- lain tugasan yang diarahkan oleh Kementerian Pelancongan dari semasa ke semasa.
Tetapi perkara yang paling kami musykil adalah kenapa kami, kakitangan yang mempunyai pengalaman yang mencukupi, kelayakan yang setimpal, serta komitmen yang tidak boleh dipertikaikan, dipinggirkan? Kenapa tempat kami diambil alih oleh kakitangan baru dan beberapa kakitangan Pejabat Perlesenan Pelancongan Wilayah sedia ada yang selama ini tugas hakikinya adalah berkaitan perlesenan pelancongan?
Juga kami ingin bertanya kenapa struktur organisasi Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri tidak sama antara satu negeri dan negeri yang lain? Jawatan N41 misalnya hanya ada di beberapa buah negeri sahaja. Adakah Kementerian Pelancongan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tahu bahawa di peringkat negeri, apabila Ketua Jabatan tidak dapat hadir mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Besar atau Setiausaha Kerajaan Negeri kerana komitmen kerja yang lain atau atas sebab yang sangat kukuh, maka mesyuarat harus dihadiri oleh pegawai terkanan (biasanya N41 atau lebih). Mereka bukan sahaja boleh memberikan pendapat tetapi juga dapat membuat keputusan?
Walaupun kita sebagai masyarakat Timur cukup sinonim dengan perasaan malu dan segan untuk menonjolkan diri, tetapi demi negara dan industri yang sangat kami hargai, kami telah membuat rayuan kepada Kementerian Pelancongan Malaysia dan JPA untuk mengambil semula kami bekerja. Tetapi rayuan demi rayuan, perjumpaan demi perjumpaan, permintaan dan rayuan kami bagai mencurah air di daun keladi.
Rezeki ada di mana-mana kalau kita pandai dan selagi berusaha pasti akan berjaya. Insya-Allah kami akan terus berusaha tetapi jangan lagi dikeluarkan kenyataan yang menjejaskan reputasi kami sebagai warga kerja yang komited dan dedikasi dengan kenyataan bahawa MTPN tidak mencapai objektif penubuhan dan pelaksanaannya. Realitinya industri ini menjadi penjana ekonomi kedua terbesar negara dan tidak goyah walaupun diancam pelbagai penyakit global termasuk kelembapan ekonomi.
Terimalah hakikat bahawa jika kita memberi yang terbaik maka kita dapat implikasi dan pulangan yang baik. Berterima kasihlah kepada mereka yang telah memberikan perkhidmatan yang baik. Jika hendak membuang kami, buanglah dengan cara terhormat.
Perlis
No comments:
Post a Comment