23 November 2009

Pemohon pertikai iklan jawatan kosong Majlis Perbandaran Seremban

Berita Harian

BARU-BARU ini Majlis Perbandaran Seremban (MPS) menyiarkan iklan jawatan kosong untuk 27 jawatan. Persoalannya, mengapa perlu menyiarkan iklan jawatan lagi? Sedangkan pada Mac lalu, MPS menyiarkan iklan jawatan dan memanggil pemohon untuk ditemuduga. Saya seorang calon yang dipanggil untuk menghadiri dua sesi temu duga iaitu sesi pertama ujian kecergasan yang diadakan pada Mei dan selepas lulus ujian kecergasan satu sesi temu duga diadakan pada Jun.

Keputusan temu duga juga sudah dikeluarkan pada September lalu. Apa yang ingin saya perkatakan di sini, sama ada benar MPS mempunyai kekosongan jawatan pada masa singkat bagi jawatan sama? Mengapa tidak memanggil calon yang sudah menghadiri temu duga pada hal jarak tempoh masa tidak sampai tiga bulan.

Saya ingin memberi komen di sini kerana untuk membeli satu borang saja berharga RM2. Bayangkan ada 27 jawatan kosong yang disiarkan dan setiap satu jawatan kosong lebih 100 pemohon. Betapa untungnya MPS mendapat keuntungan dengan cara mudah. Saya berasa tertipu dengan cara MPS ini kerana untuk menghadiri dua sesi temu duga ini memerlukan perbelanjaan besar. Berdasarkan pengalaman, saya menghadiri sesi ujian kecergasan dengan berlari dua pusingan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Pada sesi itu lebih kurang 100 calon hadir. Selepas itu saya dipanggil untuk menghadiri sesi temu duga pula yang dilakukan di bilik mesyuarat MPS. Ada lebih kurang 25 calon yang hadir. Ketika menunggu giliran temu duga, saya terdengar suara kakitangan MPS sendiri menyatakan jawatan itu sudah diisi. Bayangkan betapa saya banyak berkorban dari segi masa dan wang untuk menghadiri temu duga jawatan yang tidak nampak bayang.

PEMOHON KELIRU,
Negeri Sembilan

No comments: