16 September 2008

Datuk Mokhtar Ismail Dilantik KSU Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Mokhtar Ismail dilantik sebagai Ketua Setiausaha kementerian itu mulai 23 Sept ini.

Ketua Setiauasaha Negara Tan Sri Sidek Hassan, dalam satu kenyataan, berkata Mohd Mokhtar, 55, yang berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang ekonomi dari University of Kalamazoo, Western Michigan di Amerika Syarikat, menggantikan Datuk Dr Zulkifli Idris yang akan bersara wajib pada 22 Sept.

Mohd Mokhtar yang menyertai Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 6 Dis 1976, berpengalaman dalam bidang pembangunan ekonomi pertanian dan keusahawanan.

Dalam kenyataan yang sama, Ketua Setiausaha Negara turut mengumumkan penempatan Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Manusia), Kementerian Pelajaran (Puan) Mahzum Ariffin sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Pembangunan) di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri mulai hari ini.

Mahzum, 55, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Malaya dan berpengalaman luas dalam bidang pengurusan sumber manusia dan pentadbiran awam.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Bahagian (Pelaburan, MKD dan Penswastaan), Kementerian Kewangan Dr Mohmad Isa Hussain ditempatkan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pengangkutan mulai hari ini.

Mohmad Isa, 51, berkelulusan Ijazah Kedoktoran dalam bidang Ekonomi Kewangan daripada Universiti Putra Malaysia, menggantikan Dr Ismail Jamaluddin yang bertukar sebagai Setiausaha Bahagian (Dasar dan Perancangan Strategik), Kementerian Penerangan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Belia dan Sukan Datuk Mohid Mohamad pula ditempatkan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) di kementerian tersebut mulai hari ini.

Mohid, 51, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Asia Tenggara dari Universiti Malaya, menggantikan Muhamad Batri yang ditukarkan ke Jawatan Kumpulan, Jabatan Perkhidmatan Awam.

Jawatan Mohid diambil alih oleh Ketua Program, Program Pembangunan Profesional, Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Borhan Dolah, juga mulai hari ini.

Borhan, 49, berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Awam dari University of Hartford, Amerika Syarikat.

-- BERNAMA

1 comment:

DATUK said...

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
tuan/puan.
MINTA MEREKA YANG ARIF BERIKAN KOMEN.
....Kenapa skim perkhidmatan kerajaan seperti W, F, J, DG, U dan sebagainya mempunyai kesinambungan Gred 1 hingga 54. Tetapi tidak skim/kumpulan “N”.
Perkara ini boleh diandaikan seperti POHON. Bagi kumpulan “N” ia mempunyai akar umbi (N1) hingga ke batang sahaja (N36)...???
Manakala kumpulan “M” pula ia bermula dari dahan dan daun, bunga dan buah (M41 hingga M54 dan JUSA...)
Sekian. Terima kasih.

Wassalam.