19 September 2008

Kaji semula syor penubuhan Maqis

Berita Harian

SAYA adalah seorang kakitangan yang berkhidmat lebih 30 tahun dengan bahagian kuarantin Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Baru-baru ini, ada cadangan untuk mewujudkan bahagian sama di kementerian, yang dinamakan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) hasil idea, bekas menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebagai orang lama yang berkhidmat dalam Bahagian Kuarantin, saya rasa langkah mewujudkan Maqis adalah satu tindakan kurang bijak dan hanya membazirkan wang.

Apa perlunya diwujudkan jabatan baru sedangkan peranan kuarantin di setiap jabatan seperti Pertanian, Haiwan, Perikanan dan lainnya berjalan lancar dan berkesan sekali.

Kerajaan terpaksa menyediakan kewangan dan perbelanjaan besar bagi keperluan jabatan baru ini.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang dan bertepatan arahan Perdana Menteri supaya tidak diwujudkan jabatan baru, maka langkah Kementerian Pertanian ini adalah bertentangan dasar kerajaan untuk berjimat cermat.

Pengalaman dan kepakaran Bahagian Kuarantin setiap jabatan dalam Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani masih relevan..

Contohilah negara yang maju dalam bidang pertanian seperti Thailand, tak perlu pun diwujudkan satu jabatan seperti Maqis, tapi industri pertanian berkembang maju.

Tinjauan rambang juga menunjukkan ramai kakitangan Bahagian Kuarantin berkenaan tidak setuju cadangan penubuhan Maqis.

Sehubungan itu, saya mencadangkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapha Mohamed agar mengkaji semula kewujudan Maqis.

MERINYU KUARANTIN KLIA,
Sepang, Selangor.

No comments: