17 September 2008

3,000 pensyarah IPG akan naik pangkat

Utusan Online

KUALA TERENGGANU 16 Sept. - Kira-kira 3,000 pensyarah di Institut Perguruan Guru (IPG) di seluruh negara berpeluang menikmati kenaikan pangkat dalam pelbagai jawatan tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail (gambar) berkata, ini berikutan Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan Akta Pendidikan 1996 yang membolehkan maktab perguruan dinaik taraf sebagai IPG pada 25 Ogos lalu.

Menurutnya, serentak kelulusan itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan kenaikan pangkat dalam jawatan kepada pensyarah di IPG yang dahulu dikenali sebagai maktab perguruan.

"Dengan kelulusan JPA itu juga semua pensyarah di IPG akan memulakan perkhidmatan dengan gred DG 44,'' katanya di sini semalam.

Jelasnya dengan kenaikan itu, pensyarah yang berada di gred DG 41 akan dinaikkan pangkat kepada DG 44, DG 44 kepada DG 48, DG 48 kepada DG 52 dan DG 52 kepada DG 54.

Menurut beliau, kenaikan pangkat itu merupakan peluang yang amat dinanti-nantikan oleh semua pensyarah selaras dengan pengiktirafan tersebut memandangkan peranan mereka untuk melatih dan melahirkan guru peringkat sarjana muda.

Beliau menambah, pensyarah terbabit wajar menerima kenaikan pangkat kerana perkhidmatan mereka telah setaraf dengan rakan-rakan pensyarah di universiti.

Razali yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, pada masa ini tawaran kenaikan pangkat kepada pensyarah yang terlibat sedang diproses.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai keputusan sama ada mengekalkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) beliau berkata, sebarang keputusan yang akan dibuat adalah untuk kepentingan pelajar sebagai pewaris dan modal insan negara.

Menurutnya, pada penghujung tahun ini satu polisi atau dasar akan dibuat oleh Kementerian Pelajaran tanpa memperjudikan masa depan anak-anak dalam menghadapi cabaran globalisasi termasuk keperluan pekerjaan pada masa depan.

Beliau berkata, dua lagi sesi sidang meja bulat akan diadakan bagi membincangkan keberkesanan dan kelemahan PPSMI iaitu diwakili oleh guru, wakil pelajar di institusi pengajian tinggi awam, kolej, matrikulasi dan sekolah berasrama penuh serta guru yang terlibat.

"Sesi terakhir sidang meja bulat itu akan melibatkan ahli-ahli politik yang akan turut melihat kepada keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),'' ujarnya.

Beliau akui kelemahan bahasa Inggeris bermula sejak dari dahulu lagi kerana beberapa faktor termasuk kemiskinan, malas dan persekitaran dan bukannya disebabkan mengajar dalam bahasa Inggeris.

1 comment:

kastam said...

tunglah hampa semua...wahai para pensyarah.
aku kerja kutip cukai kepada kerjaan (logo lambang rimau dan duit lagi...),15 tahun dok takok lama juga..