15 September 2008

Guru DG29/41 terus gigit jari

Berita Harian

SEJAK akhir-akhir ini, suara Guru DG29/41 yang tidak mendapat DGA32 sudah semakin sepi dan seakan mereka terpaksa menerima hakikat walaupun sangat pahit untuk ditelan. Segala luahan dan keluhan mereka di media tidak didengar dan perjuangan melalui kesatuan guru tidak memberi hasil diharapkan.

Kesatuan guru adalah saluran yang betul bagi guru DG29/41 untuk membela nasib mereka tetapi apa yang berlaku cukup mengecewakan, terutama bagi guru DG29/41 yang baru dilantik ke DG41 dari DG29 tanpa mendapat DGA32 yang belum mencapai tujuh tahun dalam DG41.

Sebagai contoh mudah, guru A dari DG29/41 yang sudah berkhidmat selama lima tahun dalam DG41 dari DG29 (sembilan tahun) hanya berada pada P1T9, dengan gaji pokok RM2,419.45. Tetapi guru B dari DG29/32/41 sekarang sudah bergaji RM2,871.70 pada P1T14 daripada lantikan DG32 (empat tahun) yang juga dari lantikan DG29 (10 tahun).

Perbezaan gaji mereka ialah RM452.25 atau lima tahun berkhidmat, pada hal guru ini sama tempoh perkhidmatannya iaitu 14 tahun dalam bidang dan bawah bumbung sama.

Walaupun rundingan demi rundingan dibuat antara kesatuan guru dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pelajaran, ia terlalu umum dan tidak diperhalusi dengan betul yang dikhususkan untuk membela nasib guru DG29/41.

Akibatnya, keputusan yang dicapai tetap merugikan guru DG29/41 malah menjarakkan lagi 'jurang' dengan DG29/32/41 kerana keputusan tetap lebih menguntungkan guru DG29/32/34/38/41 yang sudah banyak mendapat faedah yang sangat besar sebelum ini tanpa berjuang seperti DG29/41.

Dalam situasi ini, hanya kesatuan saja menjadi harapan tunggal guru DG29/41 untuk dibela nasib mereka.

CIKGU PRIHATIN,
Kuantan, Pahang.

No comments: