20 June 2008

Rawatan hingga malam

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Orang ramai kini boleh mendapatkan rawatan perubatan sehingga jam 9.30 malam di semua hospital dan klinik kerajaan di seluruh negara berbanding setakat 4.30 petang sebelum ini.

Keputusan itu sejajar jangkaan peningkatan 25 peratus pesakit yang memanfaatkan perkhidmatan kesihatan di pusat perubatan kerajaan bagi menjimatkan kos berikutan kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata perlanjutan waktu operasi itu dilaksanakan di lebih 128 hospital dan 1,909 klinik termasuk Klinik Desa dan Klinik Kesihatan.

Selain itu, prosedur pembedahan yang sebelum ini dilakukan pada Isnin dan Jumaat kini dilakukan pada Sabtu.

“Kenaikan harga minyak baru-baru ini membuatkan orang ramai mengambil pelbagai langkah menjimatkan perbelanjaan termasuk beralih daripada mendapatkan perkhidmatan perubatan swasta kepada hospital dan klinik kerajaan.

“Arahan sudah dikeluarkan kepada semua kakitangan hospital dan klinik untuk membuat persediaan sewajarnya bagi menghadapi pertambahan pesakit termasuk mematuhi lanjutan waktu operasi yang ditetapkan supaya orang ramai dapat menjimatkan kos perubatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan Simposium Sains Kesihatan 2008 anjuran Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini semalam.

Beliau berkata, bagi memastikan lanjutan waktu operasi itu berjalan lancar, doktor dan pegawai perubatan akan bertugas mengikut syif dan diberikan elaun khidmat lebih masa RM80 sejam.

“Kita turut mengalu-alukan doktor dan pegawai perubatan swasta berkhidmat secara sambilan di hospital dan klinik kerajaan dengan kadar bayaran RM80 sejam bagi menampung pertambahan bilangan pesakit,” katanya.

Berucap merasmikan simposium berkenaan, Abdul Latiff berkata pelaburan besar kerajaan dalam sektor kesihatan sejak 30 tahun lalu termasuk pembangunan infrastruktur, sumber manusia serta program pencegahan dan rawatan penyakit menunjukkan hasil apabila negara mencatat trend penurunan pelbagai jenis penyakit selain berjaya mencapai sasaran kesihatan untuk semua bagi semua menjelang 2020.

Namun, katanya, masih ada masalah kesihatan terutama berkaitan gaya hidup yang perlu ditangani bagi mengelakkan peningkatan bebanan kepada negara akibat keperluan kewangan dalam sektor kesihatan selain kerugian sumber manusia.

No comments: