20 June 2008

Kerajaan mungkin tidak laksana gaji dua kali sebulan

Berita Harian

KUALA TERENGGANU: Kerajaan mungkin tidak akan melaksanakan pembayaran gaji dua kali sebulan seperti dicadangkan berikutan tentangan banyak pihak, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.

Beliau berkata, sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan cadangan pembayaran gaji pegawai dan kakitangan kerajaan dalam dua ansuran sebulan mulai Ogos ini, pelbagai reaksi diterima dengan lebih banyak pihak yang menentang daripada menyokongnya.

"Ini termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) serta pemimpin parti politik sendiri yang menganggap ia menyusahkan dan bukan cara terbaik untuk membantu kakitangan awam menguruskan perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah ekoran kesan kenaikan harga bahan api," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, keputusan muktamad hanya akan ditentukan pada mesyuarat Kabinet akan datang.

“Ramai yang beritahu perkara akan menyusahkan mereka. Mesyuarat Kabinet akan datang kita akan bincang dan kita akan buat keputusan muktamad nanti,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan MIC Negeri Terengganu 2008 di sini hari ini. - Bernama

No comments: