20 June 2008

Johan Jaafar engkar arahan PM sambung kontrak Firdaus?

Harakahdaily

Fadilah Abdul Ghafar

Fri | Jun 20, 08 | 3:50:13 pm MYT

Isu-isu panas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semenjak tahun 2005 hingga kini masih belum padam. Perkara-perkara yang berbangkit seperti kemandulan, kegelapan dan keterpinggiran DBP tersebut bermula semenjak Dato' Johan Jaafar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP mengganti Tan Sri Kamarul Ariffin pada tahun 2005.

Johan terlalu banyak mencampuri urusan pengurusan di DBP yang tidak sepatutnya dilakukan oleh beliau kerana tugas pengurusan di DBP berada di bawah arahan Ketua Pengarah DBP.

Jika beberapa waktu yang lalu sewaktu Dato' Rahim Bakar dan Kamarul Arifin menjadi Pengerusi Lembaga Pengelola, DBP sangat teguh dan aman damai kerana Pengerusi Lembaga Pengelola waktu itu berjalan di atas landasan Akta DBP 903 yang betul.

Tetapi setelah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP bertukar tangan kepada Johan, beliau mulai membuat onar dengan pelbagai kerenahnya dan membelakangkan peraturan-peraturan yang sepatutnya dipatuhi.

Beliau bukan sahaja mencampuri urusan pengurusan DBP, sebaliknya membelakangkan pihak pengurusan DBP dalam beberapa perkara. Contoh yang nyata iaitu mengenai pelantikan Timbalan Ketua Pengarah DBP yang sehingga kini belum tampak jalan penyelesaiannya.

Kini timbul pula isu yang baru iaitu berkaitan dengan pelantikan atau penyambungan Dato' Dr. Firdaus Abdullah selaku Ketua Pengarah DBP.

Menurut sumber-sumber dari Bahagian Dasar, sepatutnya Firdaus sudah dilantik menjadi Ketua Pengarah DBP untuk tempoh dua tahun lagi. Sebab Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri sudah pun mengeluarkan arahan kepada Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein bertarikh 21 Mei 2008 supaya Firdaus dilantik atau disambung semula perkhimatannya di DBP untuk tempoh selama dua tahun.

Tetapi kerana kelicikan dan niat tersurat Johan, pelantikan atau penyambungan tugas Firdaus sengaja dilengah-lengahkan. Maka tidak hairanlah jika dalam Mesyuarat Penuh Lembaga Pengelola DBP pada 26 Mei 2008, tentang penyambungan tugas Firdaus oleh Perdana Menteri dengan sengaja tidak dibentangkan kepada ahli Lembaga Pengelola DBP.

Kesan daripada tidak adanya Ketua Pengarah, DBP kini makin kacau-bilau, apabila para balaci Johan bermaharalela sehingga wujud istilah 'pemerintahan Bintang Tiga' di DBP.

Selain itu, para pengikut Johan dan mungkin dengan restunya mempertikaikan hak, fungsi dan kedudukan Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP dan cuba mengharamkan Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP.

Untuk melemahkan aktiviti Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP, orang-orang Johan telah meminta Pengawai Bahagian Kewangan dan Gaji JPA mengeluarkan arahan bahawa kakitangan S/N 41 ke atas tidak boleh memegang jawatan dan keahlian Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP.

Sedangkan pihak berkenaan barangkali lupa, tolol atau bahlul, bahawa kewujudan Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP bukan di bawah Bahagian Kewangan dan Gaji JPA, tetapi di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Kebahlulan pihak personal DBP tersebut diikuti pula oleh kebahlulan Pengurus Kewangan DBP, Azah Wahab apabila beliau bertindak sewenang-wenangnya mengikut hawa nafsu jahatnya iaitu memberhentikan pemotongan gaji para pekerja yang menjadi ahli Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP sebagai yuran bulan ahli kepada Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP yang sudah hampir 50 tahun tidak menimbulkan persoalan sedemikian.

Dan yang lebih bangang dan bahlul, apabila pihak balaci Johan menubuhkan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) yang baru (haram) di DBP untuk menggantikan MBJ yang sah dari segi undang-undang.

Atas perbuatan para balaci Johan tersebut, pihak Ceupacs (Kesatuan-Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam) telah menghantar surat teguran kepada pihak pengurusan DBP dan hendak mengadakan pertemuan tentang sikap pengurusan yang anti Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP.

Berkaitan dengan isu pelantikan atau penyambungan Ketua Pengarah DBP tersebut Johan cuba memutarbelitkan arahan Perdana Manteri. Sedangkan pada 26 Mei 2008, Dato' Dr. Azmi (Setiausaha Sulit Khas) kepada Menteri Pelajaran sudah pun mengeluarkan surat kepada Johan selaku Pengerusi Lembaga Pengelola DBP supaya mengambil tindakan bagi menguruskan pelantikan atau penyambungan tugas Firdaus sebagai Ketua Pengarah DBP.

Namun, ternyata surat Pejabat Menteri Pelajaran dan surat arahan Perdana Menteri tersebut tidak diendahkan oleh Johan, malah diingkarinya.

Sebaliknya, dalam mesyuarat penuh Lembaga Pengelola DBP yang diadakan pada 26 Mei 2008, persoalan penyambungan atau pelantikan semula Fidaus dibincangkan secara umum dan tidak memaklumkan akan surat arahan Perdana Menteri, sedangkan pada mesyuarat lembaga pengelola DBP tersebut KSU Kementerian Pelajaran Malaysia ikut hadir bersama.

Mustahil KSU Kementerian Pelajaran tidak mengetahui akan arahan Perdana Menteri tersebut. Sepatutnya dalam Mesyuarat Lembaga Pengelola DBP tersebut, soal pelantikan Firdaus sebagai Ketua Pengarah DBP tidak wajar ditangguh dan dipersoalkan kerana pelantikan atau penyambungan semula tugas Firdaus sebagai Ketua Pengarah DBP adalah atas arahan Perdana Menteri.

Dalam hubungan ini, apakah muslihat Johan dan KSU Kementerian Pelajaran Malaysia?

Dalam waktu yang sama juga terdengar ura-ura bahawa Johan telah bersepakat dengan KSU Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menghantar memorandum kepada Perdana Menteri bagi menolak pelantikan atau penyambungan semula tugas Firdaus sebagai Ketua Pengarah DBP.

Oleh sebab itulah hingga hari ini, surat pelantikan atau penyambungan semula Firdaus sebagai Ketua Pengarah DBP sengaja dilengah-lengahkan.

Dalam hubungan ini, tidak hairanlah jika Johan bersama balaci-balacinya di DBP semenjak awal lagi telah menghantar surat edaran (survey) yang sangat tidak bersopan kepada kakitangan DBP supaya membuat pilihan sama ada bersetuju atau tidak bersetuju melantik atau menyambung semula Firdaus sebagai Ketua Pengarah DBP. Surat edaran tersebut kononnya sudah mendapat keizinan pihak-pihak (pengurusan) tertentu DBP.

Sedangkan kakitangan DBP sudah mengetahui akan niat jahat yang tersirat serta 'master mind' di sebalik surat edaran tersebut.

Di samping itu, dari sumber-sumber yang boleh dipercayai, KSU Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah meminta jasa baik orang tertentu yang baik dengan kakitangan DBP, meminta supaya memujuk Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP, badan-badan penulis, individu-individu tertentu menghantar memorandum kepada Perdana Menteri melaluinya (KSU) atau Menteri Pelajaran menolak perlantikan semula Firdaus sebagai Ketua Pengarah DBP.

Dalam perkara ini, apakah hak KSU Kementerian Pelajaran Malaysia menentukan siapa yang berhak menjadi Ketua Pengarah DBP?

Sedangkan tali hayatnya sendiri di Kementerian Pelajaran pun sudah hampir tamat dan tidak mungkin disambung lagi kerana banyak pihak di Kementerian Pelajaran Malaysia tidak menyukai akan sikap dan sifat beliau. Adakah KSU juga bercita-cita untuk menjadi Ketua Pengarah DBP?

Dalam persoalan tersebut, ternyata Johan dan KSU Kementerian Pelajaran Malaysia telah bersepakat dan sekali gus berniat jahat untuk tidak memberi laluan kepada Firdaus menyambung tugasnya di DBP kerana beberapa kes yang berlaku di DBP sebelum ini melibatkan perancangan sulit mereka.

Andaikata Firdaus kembali bertugas sebagai Ketua Pengarah Eksekutif DBP sudah tentu agenda tersembunyi mereka sukar dilaksanakan dengan lancar dan licin.

Sekiranya mereka berdua tidak berniat jahat, kenapakah perlantikan Firdaus sebagai Ketua Pengarah DBP sengaja ditangguh-tangguhkan? Sedangkan mereka mengetahui akan penyambungan atau pelantikan semula Firdaus tersebut atas arahan Perdana Menteri sendiri. Dalam persoalan ini, ternyata mereka dengan sengaja telah mengingkari arahan Perdana Menteri.

Atas tindakan yang disengajakan oleh Johan dan KSU Kementerian Pelajaran Malaysia tersebut sewajarnya mereka berdua diberi surat tunjuk sebab dan diambil tindakan disiplin yang atas keingkaran mereka itu. Mereka ini patutnya sudah boleh dipecat atas keingkaran dan membelakangkan arahan Perdana Menteri.

Sayugia diingatkan bahawa segala permasalahan yang timbul di DBP adalah kerana Johan telah mempermainkan ahli-ahli Lembaga Pengelola DBP yang lain.

Dan segala masalah yang dihadapi oleh DBP dan Firdaus dalam menjalankan tugasnya sebagai Ketua Pengarah DBP sebelum ini adalah disebabkan oleh kerenah Johan juga yang sering kali mengganggu urusan eksekutif.

Segala haru-biru di DBP tersebut sudah diketahui oleh para Menteri Kabinet melalui Jawatankuasa Integriti Parlimen. Dengan perbuatan Johan dan para balacinya itu, imej DBP semakin buruk dan sekali gus mencalar reputasi Dato' Seri Hishamuddin, Menteri Pelajaran Malaysia kerana ketidaktegasannya serta menyambung kembali Johan yang membuat kacau-bilau di DBP sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola untuk tempoh dua tahun lagi.

No comments: