18 June 2008

Kerajaan sedia kaji semula gaji 2 kali sebulan

Utusan Online

IPOH 17 Jun - Kerajaan bersedia mengkaji semula pembayaran gaji pegawai dan kakitangan kerajaan sebanyak dua kali sebulan jika pelaksanaan sistem itu nanti menyusahkan golongan pekerja.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam bagaimanapun tetap mempertahankan langkah kerajaan itu kerana ia bertujuan meringankan beban pekerja ekoran kenaikan kos barang sekarang.

Menurut beliau, sistem pembayaran gaji tersebut adalah untuk membolehkan pekerja membuat perbelanjaan secara sama rata atau lebih tepat gaji pekerja sentiasa mencukupi sepanjang bulan.

''Menerusi gaji sebulan sekali, ada pekerja kehabisan wang dalam tempoh dua tiga hari selepas mendapat gaji. Ada yang tidak ada wang lagi untuk belanja hingga terpaksa meminjam daripada pihak lain.

"Jadi apabila gaji dibayar dua kali dalam sebulan pekerja boleh susun semula cara perbelanjaan masing-masing supaya duit gaji mencukupi untuk sepanjang bulan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Latihan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang meminta kerajaan mengkaji semula pembayaran gaji kakitangan awam sebanyak dua kali sebulan mulai Ogos ini.

Subramaniam berkata, kerajaan sedar bahawa kakitangan awam memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan sistem pembayaran gaji tersebut.

Jelas beliau, ini termasuk bagaimana kakitangan awam hendak menguruskan soal pembayaran bil serta ansuran kereta dan rumah masing-masing pada setiap bulan.

Justeru, katanya, semua kakitangan awam perlu mengatur kewangan mereka dengan baik supaya masalah kehabisan duit gaji sebelum ini dapat diatasi.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan bahawa kerajaan bakal mengaut keuntungan kerana boleh menyimpan wang gaji pekerja selama 15 hari menerusi sistem pembayaran gaji baru itu.

Jelasnya, tanggapan sedemikian adalah salah kerana matlamat utama kerajaan dalam hal itu adalah untuk memastikan pekerja mempunyai wang sepanjang bulan.

''Kalau pekerja menghadapi masalah dengan sistem gaji baru itu nanti ia boleh dibawa kepada kerajaan semula dan kita akan buat keputusan yang baik untuk pekerja," jelasnya.

No comments: