18 June 2008

2 segmen baru laporan audit

Berita Harian

SERI KEMBANGAN: Laporan Ketua Audit Negara 2007 yang dijangka dibentangkan akhir Ogos ini akan mengandungi dua segmen baru sebagai tambahan kepada laporan pendedahan salah urus dana awam kementerian serta agensi kerajaan yang dilaksanakan buat pertama kali tahun lalu.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, berkata laporan yang akan diumumkan serentak dengan Bajet 2009 itu turut memuatkan buat pertama kali laporan tahap pematuhan kementerian dan jabatan kerajaan kepada pelbagai peraturan kewangan berkenaan.

Beliau berkata, segmen baru laporan itu juga mengandungi rangkuman bentuk tindakan yang sudah dilaksanakan terhadap semua pihak terbabit susulan daripada pendedahan salah urus dana awam itu.

“Bagi menjelaskan apa yang sudah terjadi sejak pendedahan, laporan bagi 2007 akan mengandungi maklumat yang dikumpulkan mengenai tindakan yang sudah dijalankan dan pandangan diberikan sejak pendedahan berkenaan dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Persidangan Kemuncak Audit dan Tadbir Urus Korporat Asia Pasifik Keempat anjuran badan penasihat bebas bidang audit, Columbus Circle di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Columbus Circle, Navin Pasricha; Pengarah Urusan (Penasihat) Columbus Circle, Ranjit Singh dan Pengarah Eksekutifnya, Deepa Calais.

Ambrin berkata, pihaknya sedang dalam peringkat akhir penyediaan laporan berkenaan yang turut didedahkan untuk penilaian pihak awam apabila ia dibentangkan akhir Ogos.

“Justeru, buat masa ini, kami tidak dapat memaklumkan atau membayangkan kepada umum mengenai salah laku pengurusan dana yang mungkin ada sepanjang tahun lalu,” katanya.

Ditanya mengenai pihak mana sepatutnya perlu menjadi penyampai maklumat jika berlaku penyelewengan dana yang berlaku pada peringkat kerajaan negeri, beliau berkata, kesalahan itu sepatutnya dikenal pasti Jabatan Audit Negara kerana ia turut mengaudit akaun terbabit.

“Kami mengaudit akaun kerajaan negeri, termasuk dana digunakan bagi melaksanakan projek pada peringkat negeri,” katanya.

No comments: