24 November 2007

Sistem latihan doktor perlu rombakan drastik

Utusan Online

Oleh: DR. MAFEITZ MAMAT

Pengumuman Menteri Kesihatan, Datuk Chua Soi Lek kelmarin mengenai lanjutan latihan pegawai perubatan siswazah (housemanship) dari satu ke dua tahun adalah satu langkah yang positif ke arah meningkatkan lagi mutu perkhidmatan perubatan negara ini. Ia bukanlah satu isu yang baru kerana ada sesetengah pentadbiran hospital di Malaysia yang telah terdahulu melaksanakannya. Pengalaman dalam bidang perubatan amat penting kerana ia membezakan secara jelas sama ada seorang doktor itu cekap atau tidak.

Namun demikian, pengumuman ini memberi impak kepada pelajar-pelajar perubatan yang merasakan tempoh ‘penyeksaan’ akan dilanjutkan dan menjatuhkan moral mereka. Sememangnya latihan pegawai perubatan siswazah sejak dahulu lagi amat mencabar dan memerlukan ketahanan fizikal, mental dan spiritual yang tinggi. Ia bukanlah untuk mereka yang lemah semangat kerana graduan-graduan perubatan ini diuji segetir-getirnya akan keikhlasan mereka untuk berkhidmat kepada rakyat.

Sebagai pelajar perubatan, golongan ini tidak menyedari akan kebaikan yang diperoleh dalam tempoh ini. Tanyalah kepada Menteri Kesihatan atau Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan sendiri, bagaimana jangka masa latihan sebagai pegawai perubatan siswazah inilah yang telah membentuk sahsiah dan kecekapan mereka sebagai seorang doktor yang berjaya.

Fakulti-fakulti perubatan yang sedia ada di mana-mana di dunia ini tidak dapat menyediakan pelajarnya untuk menghadapi dunia pekerjaan. Pengalaman yang diperoleh akan melengkapkan pengetahuan dan mematangkan kendirinya dalam menghadapi cabaran sebagai orang yang dipertanggungjawabkan apabila dihantar berkhidmat ke hospital-hospital daerah.

Namun demikian, satu anjakan paradigma perlu dilakukan untuk memperbaiki sistem latihan pegawai perubatan siswazah ini. Jangan hanya melanjutkan tempoh tetapi tidak ada perubahan dari segi skim dan sukatan latihan.

Kelemahan utama pada sistem sekarang ialah kurangnya latihan secara langsung daripada pakar perunding jabatan masing-masing.

Doktor-doktor muda ini lebih banyak belajar daripada rakan-rakan mereka yang lebih ‘senior’ atau pegawai perubatan berbanding secara terus dengan pakar perunding atau pakar di dalam jabatan masing-masing.

Struktur dan pengukuhan latihan tidak diamalkan; hanya melepaskan batuk di tangga. Ketegasan latihan formal lebih bergantung kepada inisiatif Ketua Jabatan masing-masing. Ini jelas terbukti dalam kes-kes yang melibatkan kesilapan doktor-doktor muda ini sewaktu merawat pesakit; tiada siapa yang mengawasi mereka ketika kejadian itu berlaku.

Sukatan pada buku-buku log yang lapuk itu perlu dikaji semula akan keberkesanannya. Kemahiran-kemahiran berasaskan teknologi maklumat (IT) perlu menjadi sebahagian daripada latihan formal untuk mengimbangi ledakan IT global.

Penekanan kepada soft skills juga penting kerana lebih ramai pesakit yang berpengetahuan, oleh itu peranan doktor masa kini seharusnya lebih ‘mesra-pesakit.’ Perkara-perkara ini perlu diformalkan dan bukannya dengan mengharap kemahiran ini diperoleh secara ‘wahyu’ sebagaimana sekarang.

Maklum balas yang telus dalam Kementerian Kesihatan masih kurang memuaskan. Kepentingan lebih diberikan kepada maklum balas daripada pesakit atau pelanggan tetapi tidak dari doktor-doktor yang berkhidmat atau service provider. Pendapat-pendapat dan idea daripada doktor-doktor yang baru sahaja habis menjalani tempoh housemanship tidak pernah diambil kira. Tidak ada borang-borang evaluasi atau pendekatan untuk menambahbaikkan sistem yang sedia ada. Hierarki feudal masih tegar dalam profesion kedoktoran.

Keputusan yang diumumkan Kementerian Kesihatan kelmarin hanya bergantung kepada perbincangan oleh mereka di pihak atasan. Evaluasi pakar-pakar perubatan di hospital masing-masing menjadi kayu ukur sama ada pegawai perubatan siswazah itu layak berkhidmat sebagai seorang pegawai perubatan atau tidak.

Perlu ada maklum balas yang lebih telus daripada golongan doktor muda kerana apa yang dilalui sekarang berbeza keadaannya dari sepuluh tahun yang lalu.

Pendapat doktor-doktor muda ini sentiasa tidak diendahkan dan hanya perlu berada di dalam wad kerana sudah mempunyai kelulusan MBBS.

Penekanan kepada penyelidikan juga faktor penting masa kini. Kita perlu melahirkan lebih ramai doktor bertaraf global dan disegani di dunia.

Kita tidak boleh hanya berharap kepada pihak akademia sahaja yang masih tidak begitu menyerlah pun. Semua yang memiliki ijazah perubatan akan menjalani housemanship dan di sinilah perlu ditanamkan benih untuk mereka bukan sahaja menyumbang kepada lokaliti tetapi secara global.

Kepada pelajar–pelajar perubatan atau yang beraspirasi menjadi doktor di masa hadapan , anggaplah perubahan ini sebagai satu langkah ke arah menjadikan diri mereka sebagai doktor yang cemerlang.

Jangan terlalu gopoh untuk mengejar cita-cita menjadi seorang pakar di atas kertas tetapi pengalaman dan kemahiran yang hanya mengalahkan seorang pelajar tahun 5 perubatan.

Kepada Kementerian Kesihatan, perubahan di atas kertas perlu seiring dengan anjakan paradigma latihan. Jadikanlah latihan pegawai perubatan siswazah di Malaysia sebagai wacana menghasilkan doktor-doktor yang bertaraf dunia.

Jangan jadikan ia sebagai satu alasan graduan-graduan tidak mahu berkhidmat kepada negara kerana tempoh yang membazirkan masa. Jadikannya satu peluang keemasan yang dicemburui dan dicontohi. Kita akan tahu kita telah berjaya satu hari nanti apabila kita dapat menarik graduan perubatan dari Singapura menjalani latihan housemanship di negara ini.

– DR. MAFEITZ MAMAT

Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

No comments: