21 November 2007

Pegawai cuai kena potong gaji

Berita Harian

Oleh Hussain Said

Kerajaan Negeri Sembilan rugi lebih RM60,000 akibat kakitangan lalai jalankan tugas

SEREMBAN: Dua kakitangan kerajaan di Negeri Sembilan dikenakan tindakan dipotong gaji kerana kecuaian dan kelalaian mereka dalam tugas hingga menyebabkan kerajaan negeri menanggung kerugian lebih RM60,000.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Norzam Mohd Nor, berkata kes pertama membabitkan seorang kakitangan yang cuai mengutip bayaran hingga menyebabkan kerajaan negeri kerugian kira-kira RM52,000.

Katanya, kes kedua pula membabitkan kecuaian kakitangan yang menyebabkan kenderaan milik kerajaan negeri terbabit dalam kemalangan hingga menyebabkan kerugian belasan ribu ringgit.

"Keputusan memotong gaji kedua-dua kakitangan terbabit diambil selepas Jawatankuasa Tatatertib berpuas hati dengan keterangan dan bukti kukuh ada unsur kecuaian ketika mereka menjalankan tugas hingga menyebabkan kerajaan negeri rugi.

"Tindakan itu juga adalah sebagai pengajaran dan peringatan bukan saja kepada mereka, tetapi kepada penjawat awam lain supaya fokus ketika menjalankan tugas masing-masing," katanya di pejabatnya di Wisma Negeri di sini, semalam.

Norzam bagaimanapun menegaskan kes disiplin dan tindakan tatatertib terhadap kakitangan kerajaan negeri masih rendah dengan tahun lalu hanya 11 kes yang dirujuk daripada keseluruhan jumlah pegawai dan kakitangan kira-kira 6,000 orang.

Beliau berkata, sebahagian kes disiplin yang dilaporkan itu membabitkan kesalahan ponteng dan tindakan memberi surat tunjuk sebab dan memberi kaunseling terhadap mereka sudah diambil.
"Kita harus adil dan tidak mengambil tindakan terburu-buru kerana ada kesalahan yang berlaku mungkin disebabkan kakitangan terbabit mempunyai masalah lain yang boleh diselesaikan apabila diberi sesi kaunseling.

"Namun, bagi kakitangan bermasalah yang dikategorikan sebagai tegar hingga tidak berubah walaupun teguran dan kaunseling sudah diberikan, kita tetap mengambil tindakan tegas sehingga ke peringkat buang kerja.

"Bagaimanapun, setakat ini belum ada pegawai dan kakitangan yang dikenakan tindakan itu. Saya berharap pegawai dan kakitangan kerajaan negeri menyayangi kerja dengan menjalankan tugas dengan amanah, jujur dan ikhlas," katanya.

No comments: