24 November 2007

Perisytiharan harta bantu pulih imej pegawai JPJ

Berita Harian

Oleh Jami'ah Shukri

"KITA akan melakukan perisytiharan harta semua petugas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Kita akan bandingkan cara hidup mereka dengan pendapatan yang diterima setiap bulan. Jika tidak munasabah, mereka akan diberi surat tunjuk sebab dan menyatakan punca pendapatan dan kemewahan yang dimiliki.

"Jika gagal memberikan penjelasan memuaskan, tindakan tata tertib akan dikenakan terhadap mereka".

Kenyataan itu adalah amaran keras yang dikeluarkan Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Mustapha Abdul Rashid untuk memastikan kakitangannya tidak menyalahguna kuasa atau terbabit dalam rasuah sebagai langkah drastik berikutan ada anggotanya didapati membocorkan maklumat operasi bersekongkol dengan tonto dan samseng serta mendalangi penggunaan logo tertentu pada kenderaan.

Peraturan perisytiharan harta kalangan pegawai dan kakitangannya sudah diamalkan sebelum ini untuk mengelak imej buruk dan mencemarkan integriti JPJ. Berdasarkan pemerhatian, isu rasuah membabitkan kakitangan JPJ, seakan-akan sudah berakar umbi sejak dulu. Malah, jabatan itu adalah antara yang menerima aduan tertinggi membabitkan amalan rasuah.

Hal ini kerana banyak ruang dan wujud lubang terbuka yang memungkinkan kakitangan dan pegawainya melakukan salah guna kuasa dan menerima rasuah kerana banyak transaksi mereka dengan orang ramai.

Jika dilihat, imej rasuah masih gagal dikikis sepenuhnya di jabatan itu. Selagi semua anggotanya tidak amanah dan bersifat materialistik untuk cepat kaya, tabiat buruk itu akan wujud di dalam diri mereka.

Contohnya, isu pengeluaran mendapatkan lesen memandu tanpa menduduki ujian undang-undang atau lesen terbang masih wujud dan diperoleh dengan mudah asalkan menyogok sejumlah wang kepada pegawainya. Pakatan juga dikatakan berlaku antara pemilik institut memandu.

Tidak terkecuali rasuah juga berlaku kalangan pegawai tinggi jabatan itu termasuk membabitkan bekas pengarah JPJ Kedah yang didakwa di Mahkamah Sesyen atas empat tuduhan menerima rasuah daripada seorang pengusaha akademi memandu berjumlah RM18,957.55 pada 5 Julai, 3 Ogos dan 4 Ogos lalu dalam bentuk wang tunai, penginapan hotel, makanan dan hiburan sebagai balasan tidak mengambil tindakan yang menjejaskan perniagaannya.

Dalam kes berasingan, JPJ baru-baru ini mengulangi amaran mengenakan tindakan tegas kepada pegawai dan anggotanya yang terbabit menjadi dalang terhadap penggunaan pelekat khas dengan logo tertentu oleh kenderaan beroperasi melebihi muatan untuk mengelak sekatan jalan raya.

JPJ sendiri tidak menolak kemungkinan ada pegawai dan anggotanya mendalangi penggunaan logo tertentu pada kenderaan. Sudah jelas amalan itu menunjukkan sikap tidak bermoral berikutan keinginan mendapatkan wang atau barangan berharga dengan cara mudah.

Dari segi pandangan masyarakat, sudah pasti tindakan itu mencemarkan imej JPJ. Tindakan anggota yang bersekongkol dengan samseng atau tonto menyebabkan masalah pemandu yang membawa muatan berlebihan atau lori hantu sukar dibanteras.

JPJ sendiri perlu bertindak tegas melakukan perisytiharan harta kakitangannya supaya wujud ketelusan dan tiada salahguna kuasa atau rasuah. Jika tindakan tegas tidak diambil, sudah pasti kakitangannya tidak takut untuk terus melakukannya.

Lazimnya, jika ada anggota hidup mewah dengan kereta dan rumah besar sedangkan gaji bulanan rendah tanpa disokong pendapatan daripada sumber lain, sudah pasti ada yang tidak kena. Hanya dengan perisytiharan harta kita dapat mengetahui senario sebenar, walaupun diakui ada pegawai JPJ tidak telus ketika mengisytiharkan harta mereka.

Selain itu, peranan Badan Pencegah Rasuah (BPR) adalah tepat untuk melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap semua sistem dan prosedur di JPJ untuk memastikan tidak ada ruang bagi amalan rasuah dalam menguatkuasakan peraturan lalu lintas.

Perlakuan anggota penguat kuasanya yang menjadi dalang kepada lori membawa lebih muatan disifatkan tidak bertanggungjawab. Kegiatan pemandu membawa muatan berlebihan sudah jelas menyalahi undang-undang. Lebih parah, ia boleh mengganggu kelancaran perjalanan di jalan raya dan membahayakan pengguna jalan raya lain. Berdasarkan pemerhatian, kebanyakan lori muatan berlebihan ini juga kerap dipandu laju dan sesetengahnya bahan yang dibawa seperti batu bertaburan di jalan.

Kita juga dapati, kebiasaannya lori muatan berlebihan terutama di kawasan pembinaan dikenali sebagai lori hantu dipandu pekerja asing dan lori yang digunakan sesetengahnya tanpa permit. Sudah pasti untuk melindungi kegiatan mereka, pemilik syarikat mengupah tonto atau samseng bagi memastikan kesalahan itu tidak dapat dikesan.

Laporan menunjukkan sejak tujuh tahun lalu, 31 kes membabitkan tonto, samseng dan pemandu dilaporkan bertindak ganas terhadap operasi JPJ seperti khemah dibakar, kenderaan disimbah cat, perut babi dicampak ke khemah dan terbaru, Pengarah JPJ Perlis diugut dengan peluru serta 21 lori melanggar sekatan jalan raya sehingga merosakkan peralatan JPJ di Simpang Pulai.

Tahun lalu, sebanyak 83,862 kes direkodkan manakala pada 2005 sejumlah 69,499 kenderaan diambil tindakan termasuk kesalahan membawa muatan berlebihan.

Berdasarkan perangkaan itu, JPJ melakukan tanggungjawabnya dan tegas dalam melakukan operasi bagi membanteras kegiatan itu menerusi pelbagai operasi yang ada, namun akhirnya tidak berkesan sepenuhnya jika ia digagalkan sendiri oleh anggotanya dengan membocorkan maklumat operasi selepas disogok sejumlah wang oleh tonto ini.

Pegawai dan kakitangan JPJ yang disahkan menerima rasuah itu wajar dikenakan tindakan kerana mereka diibaratkan 'musuh dalam selimut' dan menjejaskan nama baik JPJ sendiri. Jika ini tidak dapat ditangani, matlamat membanteras apa juga kegiatan menyalahi peraturan JPJ 1987 pasti tidak membuahkan hasil.



No comments: