24 November 2007

Cuti pra bersalin untuk wanita mengandung sedang dipertimbangkan

Harakahdaily

Kota Bharu, 23 Nov (Hrkh) - Kerajaan negeri sedang melaksanakan satu kajian untuk memberikan cuti pra bersalin kepada golongan ibu yang bekerja.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato' Husam Musa berkata, perkara tersebut diambil kira memandangkan hasil satu kajian yang dilakukan, produktiviti wanita pada masa hampir bersalin adalah sangat rendah.

Beliau berkata demikian sebagai jawapan bagi soalan yang dikemukakan oleh Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Chetok) dalam sesi soal jawab dalam Persidangan Kali ke-3 (Belanjawan) bagi tempoh penggal ke-4 Dun Kelantan semalam.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri sedang mengkaji untuk memberikan cuti pra bersalin dalam tempoh tertentu sama ada seminggu sebelum bersalin atau tempoh tertentu yang lebih munasabah dan dirasakan lebih praktikal.

Dalam pada itu, katanya, mengenai cuti bersalin tanpa gaji untuk kakitangan kerajaan wanita yang bersalin sehingga tempoh lima tahun yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, jelas beliau, pejabat Setaiusaha Kerajaan Negeri(SUK) telah menerima pekeliling daripada kerajaan persekutuan mengenai perkara tersebut.

Jelasnya lagi, pemakaian pekeliling berkenaan tertakluk oleh pihak berkuasa negeri masing-masing, yang mana pekeliling perkhidamatan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua kakitangan awam kerajaan negeri oleh pihak kerajaan persekutuan.

Tambahnya lagi, bahagian sumber manusia telah mengemukakan pekeliling tersebut untuk pertimbangan Menteri Besar pada 17 September 2007 bagi tujuan persetujuan terima pakai kepada anggota perkhidmatan awam kerajaan negeri di Kelantan.

Bagaimanapun katanya, pada masa ini kerajaan negeri belum memutuskan sama ada untuk menerima pakai pekeliling tersebut atau tidak.

"Kerajaan belum dapat merumuskan faedah sebenar dan keperluan kepada kakitangan wanita yang bersalin kerana kemudahan cuti untuk lima tahun ini kemudahan cuti tanpa gaji.

"Walau bagaimanapun satu kajian akan dilaksanakan dan kita akan menerima pandangan daripada kakitangan wanita kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Abdul Halim, jelas Husam, kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan tempoh cuti bersalin yang lebih panjang serta bergaji daripada tempoh 60 hari yang ditetapkan sekarang. - mns

No comments: