Latihan pegawai perubatan dilanjut 2 tahun
Utusan Online
PUTRAJAYA 21 Nov. – Kabinet hari ini bersetuju melanjutkan tempoh latihan pegawai perubatan siswazah dari setahun kepada dua tahun mulai tahun depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, langkah tersebut perlu dalam usaha kerajaan memperkukuhkan lagi pengetahuan, kemahiran dan pengalaman di kalangan pegawai perubatan siswazah.
Beliau berkata, lanjutan tempoh itu juga akan memberi faedah kepada rakyat kerana ia dapat meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan.
‘‘Tempoh dua tahun itu meliputi empat bulan latihan masing-masing dalam bidang perubatan, pediatrik, pembedahan am, tulang, sakit puan dan kecemasan.
‘‘Pada masa ini setiap tahun Malaysia menghasilkan kira-kira 1,200 pegawai perubatan siswazah dari institut pengajian tinggi awam dan swasta,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet di pejabatnya di sini.
Sementara itu, Soi Lek memberitahu, Kabinet turut bersetuju supaya Kementerian Kesihatan mengawal operasi Tabung Darah Tali Pusat swasta dengan mewajibkan pengendalinya berdaftar dengan kementerian.
Beliau berkata, kementerian juga diarahkan mewujudkan satu piawaian yang jelas tentang perkhidmatan tersebut.
‘‘Masalah timbul apabila ada sesetengah pihak mengiklankan kononnya tali pusat boleh digunakan untuk merawat banyak penyakit tetapi setakat ini ia hanya boleh mengubati penyakit leukemia dan talasemia.
‘‘Sebenarnya nisbah tali pusat yang boleh digunakan semula pada masa depan adalah sangat kecil iaitu dalam nisbah 1:100 atau 0.1:100,” katanya.
Ketika ini terdapat tiga tabung darah tali pusat di Malaysia dan sebuah lagi akan beroperasi tidak lama lagi.
Kabinet meluluskan peruntukan RM16.8 juta setiap tahun untuk kos operasi Tabung Darah Tali Pusat hospital kerajaan dan peruntukan RM15.6 juta bagi mengubah suai serta membeli peralatan di tabung darah tali pusat itu.
No comments:
Post a Comment