01 May 2007

Skim Pengetua Cemerlang diperluas

Sumber : Utusan Online
Oleh HELMI MOHD FOAD

PUTRAJAYA 30 April – Kementerian Pelajaran akan memperluaskan pelaksanaan skim Pengetua Cemerlang dan Guru Cemerlang dengan mewujudkan kouta Guru Besar Cemerlang bagi guru bukan siswazah menikmati kenaikan pangkat dengan lebih cepat.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, cadangan itu dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) setelah mendapati konsep tersebut telah menunjukkan kesan positif kepada profesion keguruan.

Beliau berkata, pengenalan konsep Pengetua Cemerlang dan Guru Cemerlang telah membuka ruang kenaikan pangkat secara ‘fast track’ kepada para guru yang menunjukkan prestasi cemerlang.

‘‘Kejayaan skim ini yang bertujuan untuk membolehkan guru menikmati kenaikan pangkat tanpa perlu keluar daripada sekolah telah menjadi asas untuk kerajaan menambah kouta jawatan pelbagai gred sebanyak lebih 250 peratus pada Oktober 2006,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat sambutan Hari Guru bagi tahun ini di sini hari ini.

Sambutan Hari Guru tahun ini akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Johor Bahru pada 16 Mei ini.

Sambutan tersebut sejajar dengan fokus bulanan kementerian membabitkan tumpuan kepada teras kelima Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu agenda memartabatkan profesion keguruan.

Menurut Hishammuddin, bagi menggerakkan agenda itu, dasar kementerian adalah untuk memartabatkan profesion keguruan dengan meningkatkan kualiti, kerjaya dan kebajikan guru (3K).

Beliau menjelaskan, proses pemantapan kerjaya guru akan memberikan manfaat kepada semua guru sama ada yang berkhidmat di sekolah atau mereka yang bertugas dalam agensi pendidikan di peringkat pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan kementerian.

‘‘Antara langkah yang diambil adalah dengan memperkenalkan skim perkhidmatan khas berdasarkan prestasi dan penstrukturan organisasi di pelbagai peringkat dengan mewujudkan banyak peluang kenaikan pangkat,” katanya.

Hishammuddin berkata, kementerian juga sedang mengkaji gerak kerja susulan dalam usaha pemantapan latihan perguruan yang telah dilaksanakan dengan menaikkan taraf maktab perguruan kepada Institut Pendidikan Guru (IPG).

Dalam hal ini, beliau menyatakan, Institut Aminuddin Baki (IAB) akan dijadikan sebagai institut latihan kepimpinan guru dengan peruntukan awal sebanyak RM600 juta bagi membangunkan kampus induknya di Nilai, Negeri Sembilan.

Selain itu, kata beliau, kementerian sedang meneliti keperluan menstrukturkan semula dan mengembangkan Bahagian Pendidikan Guru (BPG) bagi menjadi sebuah jabatan khusus yang bukan hanya menumpukan aspek pendidikan guru tetapi juga pembangunan profesionalisme keguruan secara keseluruhan.

Bagi aspek kualiti guru pula, kata Hishammuddin, kementerian akan melaksanakan pelbagai pendekatan untuk memastikan setiap guru bukan sahaja terlatih dalam kemahiran asas pedagogi malah mempunyai minat mendalam, menguasai kandungan subjek dan memiliki kreativiti bagi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan serta menarik.

‘‘Latihan pra dan dalam perkhidmatan akan ditambah baik dengan meningkatkan pendedahan, pemahaman dan penguasaan para guru kepada semua kriteria Gagasan Sahsiah Keguruan,’’ katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai isu keracunan susu dan bekalan makanan bantuan melibatkan ramai murid sekolah sejak akhir-akhir ini, beliau berkata, pihaknya masih menunggu laporan daripada Jawatankuasa Kebersihan, Keselamatan dan Kesihatan kementerian berkenaan.

No comments: