04 May 2007

Gaji naik 10 peratus hanya khabar angin


Cuepacs tak patut buat kenyataan berdasar sumber internet


KUALA LUMPUR: Kadar 10 peratus kenaikan gaji kepada kira-kira 1.2 juta kakitangan awam adalah khabar angin semata-mata, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak tidak membuat kenyataan atau memberi reaksi berhubung perkara itu hingga pengumuman rasmi mengenai tuntutan kenaikan gaji kakitangan awam dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata, dakwaan kononnya kerajaan akan hanya memberi kenaikan gaji purata 10 peratus kepada kakitangan awam dan turut tersebar menerusi internet adalah khabar angin yang tidak diketahui kebenarannya.

“Perdana Menteri sebelum ini sudah berjumpa dengan Cuepacs dan beliau sendiri sudah kata nak kaji (tuntutan kenaikan gaji yang dikemukakan)... jadi tunggulah,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Selasa lalu, Cuepacs menyatakan akan menolak jika kerajaan hanya memberi kenaikan gaji purata 10 peratus bagi kakitangan awam kerana menyifatkan ia hanya pelarasan dan bukan kenaikan seperti diminta.

Presidennya, Omar Osman, berkata pihaknya mendapat maklumat mengenai perkara itu melalui internet dan panggilan telefon daripada pihak tertentu.

Dalam memorandum yang dikemukakan kepada Perdana Menteri 11 Januari lalu, Cuepacs memohon tuntutan kenaikan gaji secara menyeluruh untuk kakitangan awam dengan alasan ia perlu disesuaikan dengan kos sara hidup semasa. Kali terakhir semakan gaji kakitangan awam ialah pada 1992.

Ismail bagaimanapun berkata, Cuepacs tidak sepatutnya cepat melatah dengan membuat kenyataan ia tidak akan menerima kenaikan gaji purata 10 peratus bagi kakitangan awam semata-mata berdasarkan perkara disebarkan melalui internet.

“Perkara dalam internet bukan semua betul dan adalah tidak wajar untuk Cuepacs membuat kenyataan dan mengulas berdasarkan maklumat tidak sahih,” katanya yang enggan mengesahkan sama ada kerajaan sudah membuat keputusan berhubung jumlah kenaikan gaji kakitangan awam.

Beliau menegaskan, semua pihak perlu menaruh keyakinan penuh terhadap Perdana Menteri untuk membuat keputusan berhubung isu berkenaan kerana beliau yang juga Menteri Kewangan sudah tentu akan memikirkan sesuatu yang terbaik.

“Ini bukan perkara mudah kerana ia bukan saja membabitkan soal gaji semata-mata, malah juga perkara lain seperti elaun dan pelbagai faedah yang harus diperhalusi,” katanya.

Mengenai permintaan Cuepacs supaya kakitangan sektor awam yang sudah bertugas secara kontrak lebih lima tahun diserap ke jawatan tetap, Ismail berkata, keputusan berhubung proses itu tertakluk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Perkara itu terpulang kepada jabatan masing-masing dan kita tidak boleh membuat andaian semua kakitangan kontrak perlu diserapkan. Ada kakitangan kontrak diambil berdasarkan projek tertentu jadi menyerap ke jawatan tetap mesti dibuat mengikut keperluan jabatan,” katanya.

Sementara itu, Omar berkata Majlis Kongres Cuepacs akan bermesyuarat selepas majlis perhimpunan kakitangan awam dengan Abdullah di Putrajaya pada 21 Mei ini, tanpa mengira sama ada kenaikan gaji baru diumumkan atau tidak dalam majlis terbabit.

No comments: