04 May 2007

9,984 jawatan guru cemerlang dilulus

Berita Harian

Jabatan diarah semak syarat mudahkan proses permohonan

PUTRAJAYA: Lebih 300,000 guru dan pengetua di seluruh negara dipelawa memohon mengisi kekosongan 9,984 jawatan guru dan pengetua cemerlang (siswazah dan bukan siswazah) yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) baru-baru ini.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata guru dan pengetua berkelayakan boleh memohon terus kepada kementerian selain menerusi sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah.

Katanya, semua jabatan berkaitan diarah menyemak semula syarat dan prosedur sedia ada bagi memudahkan proses permohonan supaya guru dan pengetua terbabit dapat menikmati sepenuhnya peluang itu.

"Saya berharap guru dan pengetua yang berkelayakan segera memohon mengisi kekosongan jawatan itu kerana sebelum ini peluang mereka menikmati kenaikan pangkat adalah terhad," katanya di sini, semalam.

Terdahulu, beliau menyampaikan watikah pelantikan Perunding Kanan Institut Aminuddin Baki (IAB) kepada Mary Yap Kain Ching, Khuzaimah Sulaiman, Wan Karimah Wan Yaacob dan Tee Pak Leong serta Pengetua Cemerlang, Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) C kepada Wan Hamzah Wan Daud, Mohd Rauhi Mohd Isa dan Siti Noor Aisa Maidin.

Hishammuddin berkata, pertambahan jawatan guru dan pengetua cemerlang membuktikan kesungguhan kerajaan memartabatkan profesion perguruan.

Katanya, jawatan itu diwujudkan bagi membolehkan guru dan pengetua berkualiti kekal di sekolah dan tidak perlu berpindah ke Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri atau Kementerian Pelajaran untuk menikmati kenaikan pangkat.

"Pertambahan jawatan ini berikutan cadangan kementerian Oktober lalu yang ingin memantapkan lagi konsep pengetua dan guru cemerlang menerusi Sistem Saraan Malaysia," katanya.

Antara ditawarkan ialah 4,787 jawatan Pengetua Cemerlang dan Guru Cemerlang untuk Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS), 2,400 jawatan Guru Cemerlang untuk Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) dan 800 jawatan Guru Cemerlang PPPLD Gred DGA32 ke Gred DGA34.

Konsep Pengetua Cemerlang Jusa C dan Guru Cemerlang Gred Khas C turut diperluaskan hingga ke peringkat institusi lain di bawah kementerian.

Mengenai pelantikan itu, Hishammuddin berkata, perunding kanan IAB dilantik di kalangan Pengetua Cemerlang Jusa C yang sudah bersara dan mereka berperanan menjadi jurulatih, pembimbing dan penasihat kepada pengetua dan guru besar.

No comments: