Cuepacs masih harap ‘kejutan’
Sumber : Berita Harian
Kesatuan yakin Perdana Menteri umum kenaikan gaji pada pertemuan 21 Mei
KUALA LUMPUR: Kenaikan gaji, umur persaraan, gaji minimum dan persaingan dengan pekerja asing antara isu yang akan akan terus dituntut dua kesatuan sekerja menjelang sambutan Hari Pekerja Isnin ini.
Cuepacs seperti yang dilaungkan sejak dua bulan lalu, mengharapkan kerajaan mengumumkan kenaikan gaji bagi kakitangannya dan gaji minimum yang dibangkitkan di Parlimen baru-baru ini. Presidennya, Omar Osman, berkata beliau percaya perhimpunan kakitangan awam dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi 21 Mei nanti akan membawa “kejutan” membabitkan gaji kakitangan awam.
“Kita sudah nampak ada kecenderungan kerajaan memberi kenaikan gaji antara lima hingga 40 peratus kepada kakitangan awam, begitu juga dengan penetapan gaji minimum RM900 seperti yang dituntut,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam. Beliau ditanya harapan sempena sambutan Hari Pekerja esok.
Difahamkan Cuepacs akan mengadakan perhimpunan yang mengumpulkan kira-kira 300 ahli kongres dan wakil negeri di ibu pejabatnya di sini. Cuepacs memohon kenaikan gaji 30 peratus bagi Gred 17 hingga 40, 20 peratus (Gred 41 hingga 54) serta lima hingga 10 peratus (Jawatan Utama Sektor Awam).
Kali terakhir semakan gaji kakitangan awam ialah pada 1992.Cuepacs juga masih berbincang dengan kerajaan mengenai skim Faedah Pencen Bercarum (SFPB) bagi memastikan setiap kakitangan yang menyertai SFPB mendapat pulangan tidak kurang RM250,000 hingga RM300,000 apabila bersara.
Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menetapkan lima sasaran utama menjelang Hari Pekerja esok, hubungan pekerja dan majikan serta kerajaan bertambah baik; kualiti pekerja bertambah, penyelesaian masalah pekerja dan majikan di meja rundingan; penetapan gaji minimum dan latihan serta keselamatan pekerja. Mohd Shafie BP Mammal berkata, MTUC mengharapkan pengumuman penting dibuat kerajaan sempena Hari Pekerja, esok.
Beliau berkata, kerajaan banyak mendengar tuntutan kakitangan awam dengan memberi pelbagai insentif, elaun dan ganjaran.“Kakitangan swasta nampaknya belum mendapat apa yang diperoleh kakitangan kerajaan. Kita berharap kerajaan mendesak majikan memberikan elaun kos sara hidup (Cola).
Kita juga mahu kerajaan menetapkan gaji minimum supaya pekerja tempatan tidak perlu bersaing dengan pekerja asing,” katanya.Mohd Shafie berkata, MTUC juga bersetuju sebarang tuntutan yang mahu dibuat tidak lagi menerusi piket atau tunjuk perasaan tetapi menerusi meja rundingan.“Kita percaya tuntutan menerusi piket tidak dapat menyelesaikan masalah,” katanya.
No comments:
Post a Comment