04 May 2007

Kabinet bincang JKR periksa bangunan

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kabinet pada mesyuaratnya minggu depan akan berbincang mengenai arahan Perdana Menteri supaya Jabatan Kerja Raya (JKR), memeriksa serta-merta semua bangunan kerajaan bagi mengelak masalah tidak diingini seperti kejadian siling runtuh, berulang.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Kabinet juga akan membincangkan mengenai permintaan Kementerian Kerjaraya yang mahu diberi kuasa penuh memantau dan memeriksa semua projek pembinaan bangunan kerajaan.

Beliau berkata, mesyuarat akan membuat keputusan mengenai perkara itu selepas menimbangkan cadangan dikemukakan Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu.

“Kita akan bincang jika ada masalah atau adakah tindakan akan diambil,” katanya di sini, semalam.

Kementerian Kerjaraya dikatakan akan membawa isu berkenaan pada mesyuarat Kabinet pada minggu depan supaya kuasa diberi kepada mereka khususnya memantau kontraktor dilantik kementerian lain.

Cadangan itu dikemukakan berikutan Kementerian Kerjaraya mendakwa ada kontraktor dilantik secara terus kementerian dan agensi lain, enggan bekerjasama atau membenarkan jurutera JKR membuat pemeriksaan terhadap projek berkenaan.

Pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan JKR memeriksa serta-merta semua bangunan kerajaan bagi mengelak masalah tidak diingini seperti siling runtuh, berulang.

No comments: