01 April 2007

RM300,000 syarat Cuepacs terima FPB

Sumber : Berita Harian

KUALA LUMPUR: Cuepacs sedia menerima cadangan skim Faedah Pencen Bercarum (FPB) kakitangan awam, jika setiap kakitangan mampu mendapat pulangan tidak kurang RM250,000 hingga RM300,000 apabila bersara.


Sumber berkata, Cuepacs mahu memastikan pelaksanaan skim itu benar-benar memberi faedah kepada pekerja mengikut kadar caruman tertentu yang dikenakan.

Katanya, perkara itu diambil kira kerana Cuepacs mahu memastikan masa depan pesara awam cerah serta mempunyai simpanan mencukupi untuk hari tua

“Kita sedia berunding semula dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membincangkan skim FPB jika ada pertimbangan positif seperti diharapkan Cuepacs.

“Nak potong sehingga 15 peratus pun daripada gaji untuk caruman FPB tak jadi masalah.

“Tetapi, bolehkah JPA jamin kakitangan awam akan mendapat pulangan tidak kurang RM250,000 hingga RM300,000 seorang.

“Kalau setakat dapat RM70,000 apabila bersara buat apa, nak beli rumah tak cukup belum lagi diambil kira keperluan lain termasuk kos sara hidup terus meningkat,” katanya kepada Berita Minggu, di sini, semalam.

Cuepacs pernah mengadakan dialog sulung dengan JPA, akhir Januari lalu mengenai FPB, tetapi Cuepacs menolak skim itu melalui Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) kerana mendakwa tiada beza dengan caruman pekerja dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

FPB dicadangkan untuk pelantikan kakitangan awam baru tanpa membabitkan mereka yang sudah lama berkhidmat.

Ia memerlukan kakitangan awam mencarum dalam KWAP dan mengeluarkan caruman itu apabila bersara atau mencapai tempoh tertentu perkhidmatan.

Sementara itu, Presiden Cuepacs, Omar Osman, ketika dihubungi semalam bagi mendapatkan reaksinya kesediaan Cuepacs menerima skim itu yang ditolak badan itu sebelum ini berkata, bagi Cuepacs jika FPB boleh memberi manfaat kepada pekerja, perkara itu boleh dilaksanakan.

No comments: