02 April 2007

Guru bersatu tolak PTD

Sumber : Utusan Online

Oleh FAUZIAH AROF

Oleh FAUZIAH AROF

SHAH ALAM 1 April – Semua kesatuan, pertubuhan dan badan dalam perkhidmatan pelajaran menolak kemasukan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dalam Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) kerana ia boleh menyekat kenaikan pangkat guru.

Wakil-wakil kesatuan dan persatuan yang mempunyai kira-kira 500,000 ahli seluruh negara itu sebulat suara membantah kemasukan PTD yang disifatkan menimbulkan situasi janggal kerana pegawai berkenaan tidak berpengalaman menerajui JPN.

Pada masa sama, mereka menyifatkan kemasukan tersebut juga seolah-olah menolak keupayaan guru untuk memegang jawatan tinggi dalam JPN.

Sehubungan itu, dalam mesyuarat hari ini, mereka meminta agar penstrukturan JPN ditangguhkan sementara waktu agar setiap pihak dapat memberi cadangan baru.

Yang Dipertua Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PBPPM), Abdul Manan Mohd. Noh berkata, banyak perkara yang perlu dirundingkan terlebih dahulu bagi mewujudkan situasi menang-menang bagi semua pihak.

‘‘Kami bukan cemburu dan tidak pula membantah penstrukturan baru JPN tetapi cuma menolak kemasukan PTD dalam JPN. Sehubungan itu, kami akan menubuhkan satu jawatankuasa pengelola untuk mengemukakan cadangan baru ini.

“Kami juga bercadang berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membincangkan perkara ini secara lebih mendalam,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Jabatan Pelajaran Selangor, di sini hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri wakil dari Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan (KKGDPP), Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Kesatuan Guru Agama Malaysia Barat (KKGUMB), Kesatuan Kebangsaan Guru Sekolah Tamil (KGST) dan lain-lain.

Dalam pada itu, Pengerusi Biro Penerangan dan Seranta PBPPM, Abdul Karim Abdullah menerangkan, guru senior sudah mempunyai pengalaman yang cukup dan telah menjalani kursus tertentu yang melayakkan mereka menerajui Sektor Perkhidmatan Pengurusan dan Pembangunan di JPN berbanding PTD.

‘‘PTD pula tidak mempunyai pengalaman dalam JPN dan ini sudah tentu mewujudkan satu suasana janggal dalam JPN itu sendiri sekiranya mereka yang mengetuainya nanti.

“Sedangkan JPN dan PTD mempunyai suruhanjaya berbeza. Mereka (PTD) mempunyai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, kita pula Suruhanjaya Pendidikan,” katanya.

Presiden NUTP, Anuar Ibrahim pula menyifatkan, kemasukan PTD itu sekali gus boleh menggugat masa depan guru.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng turut menganggap sebarang usaha mengambil alih jawatan tinggi JPN oleh pegawai PTD tidak dapat diterima oleh guru-guru.

1 comment:

Unknown said...

Baguslah kalau semua kesatuan guru bergabung menolah pencerobohan PTD ke JPN. Kesatuan-kesatuan guru memang kuat. Mereka mempunyai platform yang kukuh untuk memperjuangkan hak-hak mereka. Nampaknya pinangan PTD sekali lagi ditolak oleh orang yang sama. PTD seharusnya malu untuk menghantar rombongan memingan sedangkan orang yang dipinang memang tak hinginkan PTD. PTD seharusnya mencari merenung dan mencari kelehaman diri dan mestilah memperbaiki kelemahan tersebut supaya diterima bukan sahaja dari golongan guru tetapi juga golongan penjawat awam yang lainnya. Tahniah kepada kesatuan-kesatuan guru seluruh malaysia. Tinggal lagi persatuan-persatuan dalam perkhidmatan awam yang dari skim yang lain. Dimanakah mereka? Adakah mereka rela diri mereka diperkosa PTD atau mahu mempertahankan kesucian mereka daripada diragut sebagaimana yang dibuat oleh kesatuan-kesatuan guru ini. Berfifkirlah sebagaimana guru... kita juga asalnya berguru dengan guru-guru ini.......wassalam...