05 April 2007

PTD monopoli jawatan tertinggi kerajaan

Sumber : Berita Harian

PERDEBATAN berkaitan kemasukan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masih panas dan saya kira amat sesuai pada waktunya isu ini menjadi perhatian kerajaan dan seluruh rakyat mengenai apa sebenarnya berlaku dalam sektor kerajaan selama ini yang perlu diperhalusi dan dikaji bagi menghasilkan sebuah pengurusan baik dan berkualiti.


Apa dapat dirungkai daripada semua perdebatan, saya ingin memperkatakan bahawa pegawai PTD begitu gah mempertahankan bahawa mereka berkaliber dalam pengurusan kerajaan dan tidak bagi skim lain selepas mendapat Diploma Pengurusan Awam selama enam bulan, sedangkan tidak pernah diadakan penilaian antara skim, siapa yang hebat dalam pengurusan.

Mereka begitu berkuasa membuat apa saja dalam sektor kerajaan dan tidak hairan, jawatan tertinggi kerajaan hanya dimonopoli PTD. Jawatan ini dibuka kepada skim lain hanya di atas kertas putih dan bukannya dinilai berdasarkan kemahiran, kepakaran, dan kehebatan pelbagai skim, tetapi dinilai hanya antara PTD.

Kalau itu caranya, mana mungkin skim lain boleh menduduki posisi itu dengan berdiri sama tinggi, duduk sama rendah? Mana mungkin semua sektor hanya diurus dan dikuasai oleh PTD.

Cuba kita perhalusi, pada zaman persekolahan dan pengajian tinggi, kejayaan anak Malaysia hari ini jika ditanya pelajar cemerlang, tidak pernah bercita-cita menjadi PTD, tetapi mereka bercita-cita mencari kerjaya khusus seperti doktor, jurutera, guru, peguam, teknologi maklumat dan pelbagai lagi.

Malangnya, mereka cemerlang ini tidak berpeluang mentadbir jentera kerajaan hari ini kerana peluang mereka ditutup dengan dasar yang direka PTD. Peluang ini akan hanya diperoleh PTD yang rata-rata datangnya daripada mereka berkelulusan pengurusan, ekonomi dan sastera.

Kenapa negara merugikan peluang menggunakan pelajar cemerlang untuk mentadbir sektor kerajaan dan diserahkan sepenuhnya kepada PTD?

Tidak pernah dibuktikan bahawa seorang doktor, peguam, jurutera, guru dan lain-lain tidak hebat dalam pengurusan. Mengapa hari ini, ramai pekerja mahir yang belajar di luar negara tidak mahu pulang ke negara dan memberi sumbangan kepada negara?

Jawapannya kerana kerjaya mereka menjadi terhad disebabkan dasar yang direka PTD. Itulah realiti yang berlaku dalam sektor kerajaan hari ini dan perlu dikaji serta dirombak sepenuhnya.

Golongan pendidik dan pegawai skim lain bukanlah mementingkan diri sendiri dan mengutamakan pangkat semata-mata, tetapi jika pengurusan dalaman sektor kerajaan itu sendiri tidak adil, bagaimana semua orang mampu membuat kerja dengan baik?

Cubalah lihat apa sebenarnya yang berlaku dalam sektor kerajaan. Kaji dan selidiklah secara mendalam dengan mendapatkan kenyataan setiap skim perjawatan dan bukannya hanya mendapat maklum balas daripada PTD.

Saya yakin, jika kajian apa yang berlaku dalam sektor kerajaan hari ini diperhalusi, semua orang akan terkejut dengan hasilnya dan akan tahu apa yang PTD lakukan selama ini. Skim lain amat mengalu-alukan supaya kajian dibuat terhadap apa sebenarnya berlaku dalam pengurusan sektor kerajaan kerana selama hari ini skim lain tidak mampu berbuat apa-apa disebabkan kekuasaan PTD.

Alhamdulillah, NUTP memulakan langkah dan mungkin inilah masanya pintu penyelesaian kepada pergolakan. Skim lain akan bersama NUTP kerana kami menyedari apa yang berlaku dalam sektor kerajaan.

PEGAWAI SKIM F,
Putrajaya.

No comments: