03 August 2009

Guru 'tahan lasak' perlu diutama ke jawatan

Berita Harian

KENYATAAN Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Fuad Zarkashi bahawa elemen 'tahan lasak' dan sanggup bertugas di kawasan pedalaman, adalah kriteria utama bagi pengambilan bakal guru perlu dipandang serius.

Langkah mengetatkan syarat pengambilan bakal guru itu bertujuan memastikan negara melahirkan guru berkualiti yang dapat menyumbang kepada pembentukan sebuah masyarakat yang cemerlang, merealisasikan Wawasan 2020 serta menjayakan sistem pendidikan negara.

Guru bukan saja memikul beban dalam melahirkan masyarakat yang seimbang dan sepadu dari segi rohani, jasmani dan intelek, malah guru menyumbang sebahagian besar tenaga pekerja di bidang pendidikan.

Menurut Dr Mohd Fuad lagi, guru yang 'tahan lasak' bererti mereka boleh ditempatkan di sekolah kawasan pedalaman tanpa kemudahan asas seperti pengangkutan yang sempurna, terpaksa meredah hutan, atau terpaksa menggunakan bot mahupun sampan untuk sampai ke sekolah.

Umum mengetahui cabaran mengajar di pedalaman lebih besar yang memerlukan ketahanan fizikal atau psikologi. Jiwa mereka mesti kental dalam usaha mendidik anak bangsa dan pengorbanan mereka perlu dihargai.

Budaya memainkan peranan penting dalam kehidupan dan kesejahteraan individu. Justeru, guru berkualiti bukan saja mempunyai ketahanan diri untuk berdepan pelbagai kesukaran, malah mampu memahami budaya hidup masyarakat terbabit terutama di kawasan penempatan Orang Asli.

Guru, tanpa mengira di mana mereka ditempatkan mengajar perlu mempunyai elemen 'tahan lasak'. Guru kini terpaksa berdepan perubahan dalam bidang pendidikan. Perubahan dalam dunia pendidikan yang sentiasa dinamik jika tidak dapat ditangani dengan baik boleh memberi kesan kepada kesejahteraan hidup guru.

DR SAPORA SIPON,
Universiti Sains Islam
Malaysia (USIM).

Morshidi Dilantik Sebagai SUK Sarawak Yang Baru

KUCHING, 3 Ogos (Bernama) -- Datuk Mohamad Morshidi Abdul Ghani, 53, telah dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Sarawak yang baru, menggantikan Datuk Amar Wilson Baya Dandot yang bersara akhir bulan ini.

Dalam majlis ringkas, Baya, yang memegang jawatan tersebut sejak 1 Jan, 2007, menyerahkan tugas kepada bekas timbalannya itu di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Morshidi merupakan Timbalan SUK Negeri sebelum ini.

Sementara itu, Baya dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pertama Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) yang dijangka beroperasi tahun ini.

RECODA akan bertanggungjawab mengurus dan melaksanakan Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE).

Morshidi, berasal dari Kuching, memulakan kariernya sebagai eksekutif pengurusan dengan Petronas dari 1980 hingga 1988 sebelum menyertai perkhidmatan awam negeri sebagai Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara pada Ogos, 1988.

Beliau memiliki Sarjana Sains dalam Pengurusan Sumber Manusia dari Universiti Scranton, Pennsylvania, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Perangkaan), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau mempunyai empat orang anak.

-- BERNAMA

Housemanship for medical graduates extended to 2 years

PUTRAJAYA, Aug 3 — The Health Ministry has extended the housemanship for medical graduates to two years to ensure that they start off their career as doctors on a strong footing, director-general of Health Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican said.

He said previously housemanship was only for a year in three compulsory disciplines — either medicine, paediatrics, surgery or medicine, surgery and obstetrics and gynaecology (O&G), with four months in each posting.

Now it is compulsory for them to be trained in six disciplines, namely general medicine, paediatrics, surgery, orthopaedics, O&G and emergency medicine, with four months in each postings over a period of two years, he said at a seminar on housemanship training in Malaysia here.

Dr Mohd Ismail said housemen would be employed on the salary scale UD41 (RM1,999-RM5,317) and upon successful completion of their housemanship training, they would be confirmed in service and promoted to UD44 (RM3,028-RM5,570).

He said housemen would be guided, monitored and assessed by specialists not only on their knowledge and skills but also their attitude towards the profession.

"If their performance is not up to the standard, the period of training could be extended," he said.

He said at present the Malaysian Medical Council (MMC) recognised 366 medical colleges, both local and overseas, and they collectively produced about 4,000 doctors annually.

Dr Mohd Ismail said he had instructed the specialists to "take extra efforts to teach and train their housemen properly and with civility."

He said a recent study in 28 general hospitals revealed that 67.8 per of the trainee doctors found their training highly stressful and 53 per cent sometimes thought of quitting because they could not cope with the stress.

The survey also showed that the highest level of stress encountered was related to working hours and workload and 30 to 40 per cent of them did not have time for social or recreational activities, 21.8 per cent required counselling and 5.8 per cent needed specific treatment, he added. — Bernama

02 August 2009

Skim Perkhdimatan Perlu Disemak Bagi Elak Penghijrahan Doktor, Pakar, Kata Aktivis Sosial

KUCHING, 1 Ogos (Bernama) -- Seorang tokoh aktivis sosial Sarawak telah menggesa kerajaan menyemak semula skim perkhidmatan dan ganjaran yang lebih baik bagi mengekalkan doktor, pakar dan petugas sokongan perubatan terus berkhidmat di hospital kerajaan.

Datuk Seri Ang Lai Soon berkata sektor perubatan swasta, yang menawarkan ganjaran lumayan, telah menyebabkan hospital kerajaan sukar membendung 'penghijrahan' doktor berpengalaman dan pakar perubatan.

"Saya berpendapat sudah tiba masa untuk menyemak skim perkhidmatan perubatan supaya doktor berdedikasi, pakar dan petugas sokongan akan kekal dalam sektor awam demi memanfaatkan masyarakat.

"Saya selalu berasa orang kurang mampu perlu diberi kemudahan rawatan terbaik di negara ini," kata Ang, yang juga pengerusi dan komander Persatuan St.John Ambulans Sarawak selepas memeriksa perbarisan tahunan di SMK Sungai Tapang dekat sini Sabtu.

Ang berkata lebih banyak dana perlu disalurkan kepada sektor perkhidmatan kesihatan bagi mendapatkan lebih ramai tenaga doktor, pakar dan petugas sokongan hospital.

"Di samping itu, lebih banyak hospital perlu dibina dan dilengkapi dengan peralatan canggih di beberapa tempat di negara ini khususnya di kawasan kepadatan penduduk," katanya.



-- BERNAMA

01 August 2009

Gaji kakitangan Gred 41, 44 masih rendah

SEBELUM ini kita sering mendengar rungutan dan rintihan guru sekolah lulusan ijazah selepas Pelarasan Gaji Baru Kakitangan Awam yang bermula pada Julai 2007. Sesungguhnya fenomena sama juga dihadapi kakitangan awam yang berada di bawah jabatan lain seperti Kastam, Bomba dan Penyelamat, Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sebagainya.

Persoalannya, sampai bila kumpulan pengurusan dan profesional perlu bersabar dengan jurang kenaikan gaji yang seolah-olah diatur oleh pihak lain untuk merendahkan kumpulan berijazah di negara ini?

Sebagai contoh, saya sudah berkhidmat di dalam perkhidmatan awam di bawah Skim Keselamatan dan Pertahanan Awam selama 12 tahun lalu, sebagai pegawai di dalam Kumpulan Sokongan 1 di bawah Gred 27 (lulusan STPM dan Diploma ).

Bagi meningkatkan taraf akademik dan pembangunan kerjaya, saya menyambung pelajaran di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan dengan perbelanjaan sendiri. Hasilnya saya berjaya menjawat jawatan dalam Gred 41, tetapi dengan gaji pokok lebih kecil berbanding kawan yang sama-sama melaporkan diri 12 tahun lalu, tetapi sudah dinaikkan pangkat ke Gred 32.

Perbezaan gaji kami sebanyak lebih RM500. Itu belum lagi mengambil kira kakitangan yang baru berkhidmat lima tahun yang sudah dinaikkan pangkat dengan gaji mereka juga lebih besar daripada pegawai mereka.

Apa yang saya ingin persoalkan di sini, bukanlah saya tidak berpuas hati dengan gaji mereka, bahkan saya mewakili pegawai lain mengalu-alukan kenaikan itu bagi menampung kos kehidupan yang cukup tinggi.

Apa yang ingin saya pertikaikan ialah perbezaan peratusan kenaikan gaji yang dibuat dua tahun lalu, tidak adil kepada kumpulan pekerja yang berijazah terutama dari Gred 41 dan 44. Ia bukan saja membabitkan kenaikan gaji pokok, malah juga memberi kesan kepada kenaikan tahunan iaitu kenaikan tahunan Skim Gaji 32 lebih besar daripada kami yang berada di dalam Gred 41.

Keadaan ini memberi tekanan hebat kepada kumpulan pengurusan dan profesional. Untuk makluman, gaji Gred 38 juga lebih besar dan menarik daripada Gred 44. Inilah kenyataan yang harus diterima oleh kumpulan bawahan dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional di dalam perkhidmatan awam.

Bukan niat saya untuk mempertikaikan keputusan kerajaan, bahkan saya amat bersyukur dengan pembelaan daripada pihak kerajaan terhadap masalah kakitangan awam di negara kita, tetapi perbezaan kenaikan peratusan sebanyak 10 peratus, menyebabkan golongan kami tertindas.

Hasilnya, segelintir pegawai bawahan memandang rendah kepada pegawai mereka yang bergaji kecil. Saya merayu kepada pihak kerajaan supaya mengkaji semula pelarasan gaji yang bermula pada Julai 2007 dan bukannya berterusan mengikut telunjuk Cuepacs yang ternyata tidak membela nasib Kumpulan Pengurusan dan Profesional di negara ini.

Kepada Cuepacs, cuba selami hati dan perasaan kami yang terpaksa mengikat perut, meminjam duit untuk menyambung pelajaran dan jangan hanya tahu menuntut untuk sebelah pihak saja. Sesungguhnya kenaikan sebanyak 35 peratus untuk Kumpulan Sokongan 2 adalah baik, kenaikan sebanyak 25 peratus untuk Sokongan 1 juga adalah munasabah, tetapi satu kajian semula perlu dibuat supaya Kumpulan Pengurusan dan Profesional tidak tertindas.



JALAK LENTENG,

Banting, Selangor.

JPA tak jamin peluang kerja kepada pelajar

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada artikel bertajuk ‘Tajaan JPA menganggur enam tahun’ tulisan Khairol Mizan, Kluang, Johor yang disiarkan ruangan ini 11 Julai lalu.

Penajaan JPA bertujuan memenuhi keperluan sumber manusia sektor awam dan negara. Pelajar yang ditaja akan dikenakan ikatan kontrak untuk berkhidmat dengan kerajaan seperti yang dimeterai dalam perjanjian penajaan.

Bagaimanapun, kerajaan tidak menjamin sebarang pekerjaan kepada pelajar tajaan selepas mereka menamatkan pengajian.

Sebaik saja menamatkan pengajian, pelajar yang ditaja oleh JPA perlu melapor diri dengan seberapa segera yang boleh kepada JPA dan memohon pekerjaan kepada Pihak Berkuasa Melantik (PBM) untuk tujuan lantikan ke perkhidmatan awam.

Pemegang biasiswa masih perlu bersaing dalam proses pemilihan oleh PBM. Sekiranya pelajar tidak ditawarkan sebarang pekerjaan di dalam perkhidmatan awam selepas tempoh 12 bulan melapor diri, pelajar boleh memohon pelepasan kontrak daripada kerajaan.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,

26 July 2009

Cuepacs Mahu Ambil Alih Fungsi Perkhidmatan Potongan Bulanan

Oleh Sajad Hussein

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Cuepacs menggesa Perbendaharaan membenarkannya mengambil alih perkhidmatan potongan bulanan bagi pinjaman sektor awam daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

Ini bagi membolehkan kongres itu memanfaatkan komisen daripada perkhidmatan itu untuk faedah 1.2 juta kakitangan kerajaan.

Setiausaha Agung Cuepacs Ahmad Shah Mohd Zin berkata Angkasa memperoleh kira-kira RM8.1 bilion setahun daripada segi komisen dengan menyediakan perkhidmatan potongan bagi sektor awam dan swasta.

"Daripada amaun ini, 50 peratus disumbangkan oleh kakitangan awam melalui pelbagai potongan," katanya.

Angkasa mengenakan caj 2.5 peratus bagi amaun pinjaman bulanan sebagai komisen bagi perkhidmatan itu.

"Apa yang kami cadangkan kepada kerajaan ialah untuk membenarkan Cuepacs mengambil alih perkhidmatan potongan bagi pinjaman kakitangan awam dan membiarkan Angkasa meneruskan perkhidmatan bagi sektor swasta.

"Jika cadangan itu diterima, ia akan membenarkan Cuepacs menjana kira-kira RM4 bilion setahun daripada perkhidmatan itu," katanya.

Pendapatan itu, katanya akan disalurkan semula kepada kakitangan awam melalui sebuah yayasan dalam bentuk biasiswa, bantuan perubatan, geran dan bantuan kewangan dan material lain.

"Bantuan juga akan diberikan kepada pesara kerajaan, dengan itu dapat mengurangkan beban di pihak kerajaan.

"Ini akan mewujudkan keadaan saling bermanfaat, kerana kakitangan awam dan kerajaan akan mendapat faedah daripada skim ini," katanya.

Ahmad Shah berkata Angkasa tidak menyumbang "apa-apa kepada kakitangan awam," di sebalik menjana pendapatan besar daripada mereka.

Beliau berkata Cuepacs mempunyai keupayaan untuk mengambil alih perkhidmatan potongan itu dan apa yang diperlukannya ialah sedikit bantuan di peringkat permulaan daripada kerajaan untuk menyediakan infrastruktur diperlukan.

"Mungkin kerajaan boleh memberikan kami pinjaman mudah yang kami mampu bayar balik dalam tempoh singkat apabila sistem kami beroperasi," katanya.

Sementara itu, Bernama difahamkan Perbendaharaan dan Pejabat Akauntan Negara bersetuju dengan cadangan itu dan bersedia membantu Cuepacs jika kerajaan meluluskan cadangan itu.

"Menyediakan infrastruktur bukan masalah besar dan ia boleh dilakukan dengan mudah kerana asasnya sudah ada," kata sumber di MAMPU (Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia).

Menurut sumber itu malahan mendapatkan kakitangan berpengalaman bukan satu masalah kerana pegawai berpengalaman daripada Pejabat Akauntan Negara dan jabatan lain boleh dipinjamkan sementara untuk membantu Cuepacs.

-- BERNAMA

Cuepacs Kemukakan Opsyen Ketiga Pekerja PBT

ALOR SETAR, 21 Julai (Bernama) - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan menimbangkan opsyen ketiga terhadap pekerja-pekerja sokongan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) setelah pengurusan sisa pepejal diswastakan.

Presiden Cuepacs Malaysia, Omar Osman berkata, pekerja sokongan PBT mendesak supaya mereka diserapkan ke Perbadanan Sisa Pepejal, selain menangguhkan pelaksanaan penswastaan itu sebelum mendapat persetujuan pekerja.

"Cuepacs tidak membantah pelaksanaan penswastaan tetapi cuma minta opsyen ketiga ditawarkan kepada pekerja PBT, iaitu serapkan pekerja PBT ke Perbadanan Sisa Pepejal," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat mengenai isu penswastaan sisa pepejal dan kebersihan awam zon utara, di sini, Selasa.

Omar berkata, sebelum ini, pekerja PBT diberi dua pilihan, sama ada bersara awal atau bekerja dengan syarikat E-idaman yang akan mengambil alih pengurusan sisa pepejal di Kedah, namun pekerja mendesak supaya mereka diserapkan dalam Perbadanan demi masa depan yang lebih terjamin.

Menurutnya, Cuepacs telah pun menghantar memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, 23 Jun lalu bagi meminta opsyen ketiga itu.

Lebih seribu pekerja dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang hadir pada perjumpaan yang dianjurkan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa-Penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae).

Seramai lebih 25,000 pekerja seluruh negara terbabit dalam proses penswastaan itu, 5,000 daripadanya dari Wilayah Utara.

-- BERNAMA

Kemajuan ICT Tuntut Penjawat Awam Berani Berubah - Musa

KOTA KINABALU, 22 Julai (Bernama) -- Ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta arus globalisasi menuntut penjawat awam Sabah perlu berani membuat perubahan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Katanya perubahan dan transformasi perkhidmatan kini merupakan cabaran kepada penjawat awam yang selama ini berada dalam zon selesa.

"Proses pemodenan dan transformasi sebenarnya memerlukan penjawat awam yang berjiwa kental dan pragmatik, bukannya berjiwa pasif dan negatif yang takut akan perubahan.

"Inisiatif pemodenan dan transformasi ini juga adalah sebahagian daripada usaha kita untuk bergerak seiring dengan proses globalisasi dan kemajuan ICT yang berlaku dan berubah dengan sangat pantas," katanya pada majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Ketua Menteri dan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Katanya penjawat awam negeri harus berani menghadapi transformasi dengan meningkatkan kualiti perkhidmatan mengikut keadaan semasa.

Musa juga meminta penjawat awam di negeri ini mempertingkatkan komunikasi dengan Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masing-masing bagi mempercepatkan projek pembangunan untuk rakyat.

"Saya tidak mahu ada penjawat awam yang tidak berbincang atau berkomunikasi dengan ADUN atau orang bawahan mereka. Apabila projek-projek pembangunan lewat siap, tidak ikut jadual, rakyat nanti akan susah dan ini akan menjejaskan imej kepimpinan kerajaan secara keseluruhannya," katanya.

Musa juga berkata Sabah mempunyai agenda pembangunan besar iaitu Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang seharusnya sudah dilaksanakan sekarang.

"Kita sudah ada perancangan, ada orang yang boleh melaksanakannya, ada peruntukan, semuanya ada. Sepatutnya kita tidak ada alasan untuk melewatkan kerja.

"SDC merupakan projek pembangunan yang holistik. Tidak ada satu daerah pun yang ketinggalan dalam projek ini. SDC perlukan fokus, komitmen dan kerjasama yang kuat dan padat daripada semua pihak," katanya.

-- BERNAMA

Penjawat Awam Beri Projek Pada Saudara Mara Juga Dikira Rasuah - Zakaria

KUANTAN, 22 Julai (Bernama) -- Para penjawat awam yang didapati memberikan projek tertentu kepada saudara mara mereka boleh didakwa atas kesalahan jenayah rasuah mengikut tafsiran rasuah yang diperluaskan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Zakaria Jaafar berkata, ramai penjawat awam ketika ini dilihat tidak sedar dengan perluasan skop tafsiran jenayah rasuah mengikut akta terbabit.

"Tafsiran saudara mara itu meliputi mentua, menantu, anak saudara, bapa saudara, emak saudara dan sepupu orang tertuduh.

"Sekiranya SPRM dapat membuktikan penerima terbabit mempunyai hubungan saudara, kami tidak akan teragak-agak untuk mendakwa tertuduh yang memberikan projek berkenaan atas kepentingan-kepentingan tertentu," katanya ketika berucap pada majlis perasmian peletakan Batu Asas Kompleks Pejabat SPRM Pahang di sini, Rabu.

Kompleks baru SPRM Pahang yang bernilai RM20 juta itu dijangka siap pada Mei tahun depan.

Turut hadir Pengarah SPRM Pahang Sutinah Sutan.

-- BERNAMA