01 August 2009

Gaji kakitangan Gred 41, 44 masih rendah

SEBELUM ini kita sering mendengar rungutan dan rintihan guru sekolah lulusan ijazah selepas Pelarasan Gaji Baru Kakitangan Awam yang bermula pada Julai 2007. Sesungguhnya fenomena sama juga dihadapi kakitangan awam yang berada di bawah jabatan lain seperti Kastam, Bomba dan Penyelamat, Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sebagainya.

Persoalannya, sampai bila kumpulan pengurusan dan profesional perlu bersabar dengan jurang kenaikan gaji yang seolah-olah diatur oleh pihak lain untuk merendahkan kumpulan berijazah di negara ini?

Sebagai contoh, saya sudah berkhidmat di dalam perkhidmatan awam di bawah Skim Keselamatan dan Pertahanan Awam selama 12 tahun lalu, sebagai pegawai di dalam Kumpulan Sokongan 1 di bawah Gred 27 (lulusan STPM dan Diploma ).

Bagi meningkatkan taraf akademik dan pembangunan kerjaya, saya menyambung pelajaran di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan dengan perbelanjaan sendiri. Hasilnya saya berjaya menjawat jawatan dalam Gred 41, tetapi dengan gaji pokok lebih kecil berbanding kawan yang sama-sama melaporkan diri 12 tahun lalu, tetapi sudah dinaikkan pangkat ke Gred 32.

Perbezaan gaji kami sebanyak lebih RM500. Itu belum lagi mengambil kira kakitangan yang baru berkhidmat lima tahun yang sudah dinaikkan pangkat dengan gaji mereka juga lebih besar daripada pegawai mereka.

Apa yang saya ingin persoalkan di sini, bukanlah saya tidak berpuas hati dengan gaji mereka, bahkan saya mewakili pegawai lain mengalu-alukan kenaikan itu bagi menampung kos kehidupan yang cukup tinggi.

Apa yang ingin saya pertikaikan ialah perbezaan peratusan kenaikan gaji yang dibuat dua tahun lalu, tidak adil kepada kumpulan pekerja yang berijazah terutama dari Gred 41 dan 44. Ia bukan saja membabitkan kenaikan gaji pokok, malah juga memberi kesan kepada kenaikan tahunan iaitu kenaikan tahunan Skim Gaji 32 lebih besar daripada kami yang berada di dalam Gred 41.

Keadaan ini memberi tekanan hebat kepada kumpulan pengurusan dan profesional. Untuk makluman, gaji Gred 38 juga lebih besar dan menarik daripada Gred 44. Inilah kenyataan yang harus diterima oleh kumpulan bawahan dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional di dalam perkhidmatan awam.

Bukan niat saya untuk mempertikaikan keputusan kerajaan, bahkan saya amat bersyukur dengan pembelaan daripada pihak kerajaan terhadap masalah kakitangan awam di negara kita, tetapi perbezaan kenaikan peratusan sebanyak 10 peratus, menyebabkan golongan kami tertindas.

Hasilnya, segelintir pegawai bawahan memandang rendah kepada pegawai mereka yang bergaji kecil. Saya merayu kepada pihak kerajaan supaya mengkaji semula pelarasan gaji yang bermula pada Julai 2007 dan bukannya berterusan mengikut telunjuk Cuepacs yang ternyata tidak membela nasib Kumpulan Pengurusan dan Profesional di negara ini.

Kepada Cuepacs, cuba selami hati dan perasaan kami yang terpaksa mengikat perut, meminjam duit untuk menyambung pelajaran dan jangan hanya tahu menuntut untuk sebelah pihak saja. Sesungguhnya kenaikan sebanyak 35 peratus untuk Kumpulan Sokongan 2 adalah baik, kenaikan sebanyak 25 peratus untuk Sokongan 1 juga adalah munasabah, tetapi satu kajian semula perlu dibuat supaya Kumpulan Pengurusan dan Profesional tidak tertindas.



JALAK LENTENG,

Banting, Selangor.

No comments: