Kemajuan ICT Tuntut Penjawat Awam Berani Berubah - Musa
KOTA KINABALU, 22 Julai (Bernama) -- Ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta arus globalisasi menuntut penjawat awam Sabah perlu berani membuat perubahan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
Katanya perubahan dan transformasi perkhidmatan kini merupakan cabaran kepada penjawat awam yang selama ini berada dalam zon selesa.
"Proses pemodenan dan transformasi sebenarnya memerlukan penjawat awam yang berjiwa kental dan pragmatik, bukannya berjiwa pasif dan negatif yang takut akan perubahan.
"Inisiatif pemodenan dan transformasi ini juga adalah sebahagian daripada usaha kita untuk bergerak seiring dengan proses globalisasi dan kemajuan ICT yang berlaku dan berubah dengan sangat pantas," katanya pada majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Ketua Menteri dan Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Katanya penjawat awam negeri harus berani menghadapi transformasi dengan meningkatkan kualiti perkhidmatan mengikut keadaan semasa.
Musa juga meminta penjawat awam di negeri ini mempertingkatkan komunikasi dengan Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masing-masing bagi mempercepatkan projek pembangunan untuk rakyat.
"Saya tidak mahu ada penjawat awam yang tidak berbincang atau berkomunikasi dengan ADUN atau orang bawahan mereka. Apabila projek-projek pembangunan lewat siap, tidak ikut jadual, rakyat nanti akan susah dan ini akan menjejaskan imej kepimpinan kerajaan secara keseluruhannya," katanya.
Musa juga berkata Sabah mempunyai agenda pembangunan besar iaitu Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang seharusnya sudah dilaksanakan sekarang.
"Kita sudah ada perancangan, ada orang yang boleh melaksanakannya, ada peruntukan, semuanya ada. Sepatutnya kita tidak ada alasan untuk melewatkan kerja.
"SDC merupakan projek pembangunan yang holistik. Tidak ada satu daerah pun yang ketinggalan dalam projek ini. SDC perlukan fokus, komitmen dan kerjasama yang kuat dan padat daripada semua pihak," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment