12 February 2008

Omar jumpa PM bincang pembayaran honorarium

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Presiden Cuepacs, Omar Osman diberi tanggungjawab oleh kesatuan itu untuk berbincang terus dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai pembayaran honorarium kepada kakitangan awam.

Majlis Jawatankuasa Tertinggi Cuepacs yang bermesyuarat di sini, semalam, membuat keputusan itu selepas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, didapati 'segan' untuk berbuat demikian.

Omar berkata, Cuepacs tiada pilihan selain menghantar wakilnya sendiri menemui Abdullah untuk mendapatkan pertimbangan beliau, tambahan pula cadangan pembayaran honorarium itu sudah mendapat 'restu' Abdullah sebelum ini.

"Cuepacs akan menghantar surat kepada Pejabat Perdana Menteri bagi menetapkan tarikh pertemuan itu.

"Kami harap dapat bertemu Perdana Menteri bagi membincangkan perkara itu sebelum 28 Februari ini," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Jawatankuasa Tertinggi Cuepacs dihadiri 14 naib presiden, sembilan pegawai tertinggi serta 14 penolong setiausaha kerja.

Omar berkata, pertemuan itu bagi mengetahui permintaan 1.2 juta kakitangan awam untuk mendapatkan honorarium atau sagu hati RM2,000 sebagai ganti bonus.

Mengulas lanjut, Omar berkata, kesatuan itu tidak berhasrat membelakangkan Mohd Sidek, tetapi beliau sendiri yang 'segan' untuk membawakan perkara berkenaan kepada Perdana Menteri.

"Perdana Menteri sebelum ini mengarahkan kami berbincang dengan KSN (Ketua Setiausaha Negara) dan kemudian mengemukakan cadangan mengenai kewajaran pembayaran honorarium itu.

"..kami sudah berbincang dengan KSN, tetapi beliau tidak mengemukakan cadangan itu kepada Abdullah, maka kami perlu melakukannya sendiri," katanya.

Omar berkata, Cuepacs berharap daripada pertemuan itu nanti, kerajaan akan membuat keputusan segera sama ada bersetuju atau menolak permintaannya kerana ahli kesatuan sudah terlalu lama me-nunggu.

Konvensyen Cuepacs September lalu memutuskan untuk meminta pembayaran honorarium sebanyak RM2,000 setiap seorang bagi membolehkan mereka menampung kenaikan kos sara hidup.

Pembayaran itu juga adalah sebagai ganjaran atas kesetiaan kakitangan awam yang berjaya mempertingkatkan mutu perkhidmatan awam yang berada pada tahap keenam di kalangan negara dunia yang mempunyai lebih 20 juta penduduk.

Omar berkata, pemberian sagu hati adalah wajar dalam keadaan sekarang kerana 850,000 daripada 1.2 juta kakitangan awam berpendapatan rendah dan sederhana, sedangkan kenaikan pendapatan daripada pelarasan gaji pada Julai lalu dihakis oleh kenaikan harga barang.

Mohd Sidek pada 5 Februari lalu dilaporkan berkata, beliau belum berbincang dengan Perdana Menteri mengenai honorarium itu kerana sebagai penjawat awam beliau berasa segan untuk meminta kerajaan membayar sagu hati kerana kerajaan sudah memberi kenaikan gaji yang besar kepada kakitangan awam.

Katanya, dalam tempoh enam bulan, kenaikan gaji kakitangan awam membabitkan RM4 bilion dan jumlah itu adalah lebih besar daripada bonus yang lazim mereka terima.

No comments: