17 February 2010

Wajarkah Polis Marin diketepi?

Utusan Online

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa kerajaan akan menyerapkan aset Polis Marin dan Jabatan Perikanan ke dalam Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) untuk mengelak pertindihan pelaksanaan tugas dan untuk menjadikan APMM sebagai agensi maritim yang tunggal, amat mengelirukan.

APMM hanya ditubuhkan dalam tahun 2005 sebagai agensi maritim ala Coast Guard (Pengawal Pantai) seperti di Amerika Syarikat dan lain-lain negara yang tidak mempunyai polis kebangsaan.

Justeru bagaimana sebuah badan penguatkuasa yang berasaskan penugasan tentera laut yang baru sahaja ditubuhkan wajar mengambil alih penugasan dan aset pasukan Polis Marin, yang telah wujud lebih dari 60 tahun? Ia menimbulkan pelbagai tanda tanya di kalangan pesara polis yang bimbang tindakan ini akan melemahkan pasukan, justeru boleh menjejaskan pengawalan keselamatan dalam negara.

Polis Marin bukan sahaja di antara beberapa cawangan dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tetapi adalah keperluan operasional PDRM untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya seperti yang termaktub dalam Seksyen 3 Akta Polis 1967.

Polis Marin sedia mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam bidang penugasannya. Ini sehaluan dengan matlamat PDRM ia itu mengesan, menyiasat kejadian kejadian jenayah, mengawal dan menjaga ketenteraman awam, menangkap dan mendakwa pesalah di bawah undang undang yang memberinya kuasa, mencari dan mendapatkan bahan-bahan risikan mengenai ancaman kepada keselamatan negara.

Jika penyerapan ini berlaku bermakna PDRM akan hilang sebahagian daripada cawangan yang penting dan boleh juga menjejaskan kekesanan pelaksanaan tugas PDRM keseluruhannya.

APMM berasaskan ketenteraan laut, walhal Polis Marin penugasan kepolisan. Kedua-dua tugas ini jauh berbeza dan boleh juga bercanggah antara satu sama lain. Begitu juga akan berlaku kepada pegawai dan anggota, khususnya APMM yang berasal dari Tentera Laut.

Jenayah yang berlaku di laut sering bermula dan berakhir di darat. Bagi Polis Marin, mereka adalah sebahagian daripada PDRM dan mudah mendapat maklumat serta pelbagai kerjasama daripada rakan rakan di Ibu Pejabat Kontinjen Polis, Ibu Pejabat Polis Daerah dan di balai-balai polis.

APMM akan mengambil masa lama bukan sahaja untuk memahami selok belok perlakuan jenayah yang menggunakan laut sebagai kawasan kegiatan mereka, tetapi juga akan mengambil lebih lama dalam mengumpul data dan pengalaman bagi memastikan tugas dan tanggungjawab yang baru dapat dilaksanakan dengan berkesan.

PDRM masih memerlukan satu cawangan untuk penugasan di perairan. Jika aset mereka diserapkan kepada APMM, PDRM mungkin akan mencari dan mendapatkan aset serta keanggotaan baru. Sudah tentu ini semua akan menimbulkan kesulitan dan merumitkan segala usaha untuk mencegah jenayah, apatah lagi dalam mengawal ancaman kepada keselamatan negara.

Perlukah membuat perubahan yang tidak akan menguntungkan? Jika penyerapan yang dicadangkan ini adalah dari satu pasukan yang kurang mantap kepada yang lebih mantap, sudah tentu satu perkara yang baik. Tetapi APMM tidak mempunyai pengalaman yang luas dalam pengawasan, pengawalan dan pencegahan jenayah dan tidak mempunyai back-up yang matang.

Diharap pucuk kepimpinan PDRM dan Kementerian Dalam Negari prihatin dengan senario pengawalan jenayah pelbagai bentuk dari pandangan yang lebih luas. Ini kerana kemungkinan akan timbul kesan negatif.

Seperti yang dijelaskan ketika ditubuhkan, APMM seharusnya bertanggung jawab di kawasan perairan melebehi 12 batu dari pantai. Tidak perlu mengganggu pelaksanaan tugas dan tanggung jawab PDRM, sebaliknya ia wajar lebih diperkemaskan. Negara masih memerlukan Polis Marin.

Perbesarkanlah APMM tetapi jangan sentuh hak PDRM. Wujudkan sistem kerjasama ke arah pencapaian hasil kerja yang lebih bermakna.

Zulkifli Abdul Rahman

Shah Alam, Selangor

4 comments:

Anonymous said...

Kerajaan dah tak ada duit. Sepatutnya pemimpin yg atas tu kurangkan bermewah mewah, pergi luar negara jangan bawak seluruh keluarga, naik la ekonomi kelas jer, bila rasmi cukup la biasa aje tak payah la nak ada besar besaran...mana nak cukup duit...tu belum kira pembaziran lain.

Hampas betul la depa ni

Anonymous said...

saya sebagai anggota PGM dan wakil bagi anggota PGM seluruh malaysia tidak akan sekali-kali bersetuju penyerapan aset dan anggota PGM ke dlm APMM.kami sanggup di tukar ke cawangan lain dlm PDRM,namun TIDAK SEKALI KE APMM.TIDAK ada BUKTI APMM pernah menangkap lanun,seperti PGM.APMM hanya berkemampuan menangkap kapal yg berlabuh,Utk makluman kebanyakan anggota APMM TIDAK MEMPUNYAI KELAYAKAN MEMBAWA KAPAL SEPERTI ANGGOTA PGM YANG TELAH DIBERI KELAYAKAN OLEH JABATAN LAUT MALAYSIA selepas MENGAMBIL UJIAN DI JABATAN LAUT

Anonymous said...

Dah jadi macam kat sabah tu tentera sultan sulu, mana korang pergi ha?

HAT'Z N JAS'Z said...

Kurang kerjasama di peringkat atasan..