20 February 2010

Sesi 'pitching' beri pembekal hak sama rata

KEMENTERIAN Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) sudah beberapa kali membuat perubahan dalam kaedah perolehan bagi mengisi keperluan siaran RTM. Perubahan yang dilakukan berdasarkan penambahbaikan bagi mencari kaedah terbaik dalam mengisi keperluan RTM di samping memenuhi kepuasan hati pihak pembekal.

Pitching adalah proses perolehan yang dilaksana oleh Kementerian bertujuan menyenarai pendek cadangan penerbitan rancangan (proposal) berdasarkan keperluan dan kehendak siaran. Penilaian dibuat berdasarkan kepada persembahan dan sinopsis sesuatu rancangan. Proses ini adalah satu kaedah profesional.

Pitching untuk keperluan siaran dari September 2009 hingga Oktober 2010 telah dilaksanakan pada 14 September 2009 hingga 20 Oktober 2009. Pengumuman keputusan sesi pitching sudah diumumkan menerusi laman sesawang Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) pada 21 Januari 2010.

Sebanyak 510 syarikat berdaftar dengan KPKK, hanya sejumlah 298 syarikat/penerbit yang berminat membida dan menghadiri sesi pitching di mana sebanyak 3,040 jumlah pelbagai genre/kategori dibentangkan.

Kaedah pitching adalah proses terbaik yang pernah dilaksanakan oleh Kementerian di mana ia memberi peluang sama rata kepada semua pembekal (yang berdaftar dengan KPKK saja) dalam membida perbekalan rancangan di RTM. Pemilihan dibuat berdasarkan kepada pemarkahan yang diberi secara telus oleh panel yang dilantik khas oleh KPKK dari pelbagai agensi di bawahnya.

Adalah sukar bagi pihak RTM dalam memenuhi setiap kehendak penerbit dalam membekalkan rancangan di RTM. Hanya mereka yang benar-benar berwibawa dan berjaya meyakinkan panel semasa sesi pitching saja dipilih bagi mengisi keperluan siaran. Justeru, tidak timbul isu agihan jam yang tidak seimbang kerana hanya mereka yang benar-benar layak saja dipilih. Kaedah perolehan rancangan yang dilaksana oleh RTM adalah tertakluk kepada tatacara dan peraturan Perbendaharaan Malaysia. Kaedah ini tidak sama dengan perolehan yang dibuat oleh stesen swasta.

Tiga syarikat yang disebut dalam artikel HIP bertarikh 10 Februari 2010 itu, berurusan dengan RTM secara kontrak dalam pembekalan rancangan swasta tempatan dan rancangan luar negara (syndicated) mematuhi peraturan perolehan kerajaan dan mendapat kelulusan Kementerian Kewangan. Mereka mampu menawarkan harga berpatutan dan menyediakan filem blockbuster yang memberi rating yang tinggi.

RTM bertanggungjawab dalam membangunkan industri kreatif negara dalam menyahut seruan Gagasan 1Malaysia.

DATUK IBRAHIM YAHAYA,
Ketua Pengarah Penyiaran,
Jabatan Penyiaran Malaysia.

No comments: