17 February 2010

Kementerian jelaskan pelantikan guru besar

Utusan Online

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat MIDMAN, Gua Musang, Kelantan dalam ruangan ini pada 1 Februari 2010 bertajuk 'Teliti laluan jadi Guru Besar'.

Untuk makluman penulis, semua jawatan Guru Besar di sekolah rendah merupakan jawatan-jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) Gred DGA32 dan DGA34. Memandangkan ia adalah jawatan-jawatan kenaikan pangkat bagi PPPLD, maka seharusnya keutamaan di beri kepada PPPLD yang layak dan telah diluluskan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP) bagi pemangkuan dari Gred DGA29 ke Gred DGA32 dan dari Gred DGA32 ke DGA34 untuk mengisi kekosongan yang berlaku.

Walau bagaimanapun, terdapat Guru Besar yang telah melanjutkan pelajaran secara PJJ bagi mendapatkan Ijazah pertama. Mereka ini telah dikekalkan sebagai Guru Besar di sekolah asal secara Khas Untuk Penyandang (KUP) setelah pelantikan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41. Keputusan pengekalan ini adalah sejajar dengan matlamat Kementerian untuk meneruskan kesinambungan kepakaran dan kepimpinan mereka di sekolah rendah.

Oleh yang demikian, Guru-Guru Penolong yang telah dilantik sebagai PPPS Gred DG41 adalah tidak layak untuk mengisi jawatan Guru Besar yang dinyatakan seperti di atas dan kerana tidak lagi berada di dalam skim perkhidmatan PPPLD bagi membolehkan dipertimbangkan mengisi jawatan guru Besar Gred DGA32/DGA34 di sekolah rendah.

Walau bagaimanapun, selaras dengan pelaksanaan Dasar Pensiswazahan yang mana KPM berhasrat untuk mempunyai 50% guru-guru di sekolah rendah terdiri daripada guru siswazah, pihak KPM sedang menjalankan kajian Model Perjawatan Sekolah Rendah dengan mengambilkira isu-isu perjawatan dan penambahbaikan laluan kerjaya Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di sekolah rendah.

Cadangan Model Perjawatan ini akan mengambil masa kerana memerlukan kajian dan penelitian yang mendalam. Oleh itu cadangan ini dijangka akan dapat dikemukakan kepada Agensi Pusat selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini.

SOLIHAN BADRI

Unit Komunikasi Korporat

Kementerian Pelajaran Malaysia

3 comments:

Anonymous said...

Tahniah kami ucapkan kepada Kementerian Pelajaran dibawah teraju kepimpinan Y.A.B. Tan Sri di atas pengumuman Transformasi Pendidikan yang akan mengangkat sistem pendidikan negara kita ke aras global. Kami sebagai warga pendidik menyokong dan memberi kerjasama kepada KPM dalam apa jua usaha untuk meningkatkan keberhasilan dan prestasi pendidikan di Malaysia. Setiap transformasi memerlukan anjakan paradigma, kaedah dan pendekatan, profesionalisme dan kompetensi, serta sikap dan mentaliti sebagai tunjang yang menjadi amalan di setiap peringkat Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah.

Selaras dengan pelaksanaan Transformasi Pendidikan kami mencadangkan agar taraf gred jawatan Guru Besar sekolah rendah yang sekarang ini waran perjawatan nya ialah DG 34 dinaikkan kepada Gred DG 44. Cadangan ini diutarakan diatas keperluan semasa seperti berikut:-

1. Memartabatkan jawatan Guru Besar sebagai ketua sebuah institusi kerajaan dan dihormati oleh penjawat awam dan masyarakat.

2. Sesuai dengan perkembangan dan kemajuan pendidikan masa kini jawatan tersebut perlu disandang oleh Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Siswazah sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh negara-negara di Asia.

3. Program Pensiswazahan Guru Besar telah melahirkan ramai Guru Besar yang mendapat ijazah kepada mereka yang sanggup meningkatkan kelulusan akademik walaupun terpaksa bersusah semasa bertugas.

4. Hampir separuh guru-guru di sekolah rendah ialah guru siswazah DG 41. Maka ini dengan sendirinya memberi gambaran supaya gred jawatan Guru Besar perlu lebih tinggi grednya daripada guru biasa.


5. Memberi peluang kepada pegawai di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah yang pernah bertugas sebagai Guru Besar dan telah mendapat ijazah selepas tahun 2001 dan banyak pengalaman menjawat jawatan Guru Besar sekiranya grednya dinaikkan kepada DG 44.

6. Memberi peluang Guru Penolong Kanan DG 41 yang sedia ada di sekolah rendah yang layak dan berpengalaman memohon dinaikkan pangkat sebagai Guru Besar DG 44.

7. Mengalakkan lebih ramai guru bukan siswazah melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda jika mereka berhasrat menjawat jawatan Guru Besar dan tidak sebagaimana amalan sekarang tidak perlu belajar pun boleh jadi Guru Besar manakala kawan-kawan yang belajar ke universiti tidak layak menjadi Guru Besar.


Melalui bancian yang dijalankan ramai Guru Besar DG 34 dan DG 38 akan bersara pada tahun 2010 dan 2011. Ketika ini mungkin kena pada masanya waran perjawatan Guru Besar sekolah rendah dinaikkan taraf kepada DG 44. Bagi Guru Besar DG 34 atau DG 38 yang sedia ada, mereka dibenarkan menjawat jawatan tersebut sehingga bersara agar tidak menimbulkan polemik dan rasa ketidak puasan hati.

Kami warga pendidikan siswazah sangat berharap perkara ini diberi pertimbangan oleh Kementerian Pelajaran sesuai dengan Transformasi Pendidikan yang dilaksanakan agar ia selaras dengan teras PIPP memartabatkan profession perguruan dan jawatan pengurusan sekolah rendah dihormati oleh masyarakat.

Sejarah telah membuktikan perkara seumpama ini boleh dilaksanakan sebagaimana jawatan Pengetua sekolah menengah yang disandang oleh pegawai pendidikan bukan siswazah satu ketika digantikan dengan pegawai pendidikan siswazah secara peringkat diterima baik oleh warga pendidikan.

Diharapkan kajian Model Perjawatan Sekolah Rendah dengan mengambilkira isu-isu perjawatan dan penambahbaikan laluan kerjaya Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di sekolah rendah dapat diumumkan dengan segera dan tak perlu menunggu hingga hujung tahun 2010.

Sekian untuk pertimbangan Y.A.B. Tan Sri demi kemajuan pendidikan Negara kita yang tercinta.



Salam hormat dan ikhlas dari kami,

1. Bekas Guru Besar DG 34.
2. Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah KPM,JPN,PPD.
3. Guru Penolong Kanan sekolah rendah DG 41.

Anonymous said...

Assalamualaikum....Adalah amat tidak adil dasar kementerian yang membelakangkan guru yang telah berusaha bersungguhsungguh untuk melanjutkan pelajaran ..Satu contoh yang saya ingin utarakan ya lah seorang guru yang dinaikkan pangkat ke jawatan guru besar dg a32 dan kemudian bertukar ke ppd sebagai penyelia dan selepas itu bertukar ke sekolah rendah sebagai penolong kanan dan dalam masa yang sama dilantik sebagai pegawai dg 41...Mana haknya untuk menjadi guru besar....

Anonymous said...

Saudara Anonymous, Adakah menjadi satu hak untuk menjadi Guru Besar. Saya berpandangan, untuk menjawat sesuatu jawatan seperti Pk atau Gb, Guru tersebut haruslah berkelayakan. Bukan seperti sekarang ini, sapa-sapa boleh jd Pk atau GB tapi bab kerja.... satu benda pun tak boleh harap.. Keadaan ini harus diperbaiki bagi memantapkan mutu pendidikan negara kita. Nak menjadi GB haruslah berkomitmen tinggi dan telah faham tentang aspek kempimpinan pendidikan. Keutamaan haruslah diberi kepada pemegang Sarjana Pengurusan Pendidikan.... baru pendidikan akan mantap dan berkualiti..