26 April 2010

Penjawat Awam Tidak Mudah Disogok - KSN

PUTRAJAYA, 26 April (Bernama) -- Kempen "Bersama Lakukan Perubahan, Perangi Rasuah" akan memberi satu amaran kepada masyarakat umum bahawa penjawat awam tidak mudah disogok dengan rasuah, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

"Kita akan memberi satu isyarat bahawa kita mempunyai integriti yang tinggi," katanya di majlis perasmian kempen itu yang melibatkan agensi penguatkuasaan utama seperti Polis Diraja Malaysia, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Antara yang hadir di majlis tersebut adalah Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tun Abdul Hamid Mohamad; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; dan Presiden Cuepacs, Omar Osman.

"Penjawat awam harus menjadikan amalan menolak rasuah sebagai satu budaya. Saya yakin pada satu hari nanti tidak akan ada sesiapa yang berani menawarkan rasuah kepada penjawat awam," katanya.

Katanya penjawat awam terutama agensi penguatkuasaan perlu memastikan mesej bahawa mereka tidak boleh dan tidak mudah untuk "digula-gulakan" dengan wang ringgit bagi melepaskan pesalah, dapat dihantar dengan jelas.

"Jika sebelum ini, kita biasanya mendengar dan membaca berita-berita penjawat awam ditangkap kerana menerima rasuah, melalui kempen ini kita berharap akan didedahkan pula dengan berita-berita tangkapan terhadap orang ramai yang cuba memberi rasuah kepada penjawat awam.

"Mesej dan matlamatnya adalah mudah, iaitu penjawat awam tidak boleh di rasuah. Perkhidmatan awam tidak boleh dirasuah," katanya.

Katanya pada kebiasaannya manusia suka disukai, begitu juga ketua-ketua jabatan amat suka juga disayangi oleh anak-anak buah mereka.

"Tetapi sekiranya anak-anak buah di bawah jagaan kita, bertindak di luar batasan dan tidak mematuhi peraturan dan prosedur sedia ada, maka sebagai ketua hendaklah mengambil tindakan sekiranya terbukti anak buah bersalah," katanya.

Selaku Pengerusi Pasukan Petugas Mengkaji Laporan Ketua Audit Negara Bagi Tahun 2008, beliau perhatikan bahawa lazimnya ketua-ketua jabatan sangat bertimbang rasa.

"Mereka lebih suka memberi peluang atau tidak suka mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang didapati cuai atau sengaja melanggar peraturan dan prosedur dalam pengurusan wang awam.

"Ketua-ketua di peringkat kementerian, jabatan dan kerajaan negeri lebih cenderung memberi maklum balas bahawa tiada tindakan yang boleh diambil kerana ianya dibuat di luar bidang kuasa pegawai-pegawai. Begitu mudah penyelesaiannya. Saya berkara perkara ini akan berubah," kata beliau.

Katanya walaupun dengan adanya kempen ini, pasti masih ada di kalangan penjawat awam terus tergoda dengan rasuah tetapi bilangan ini mungkin lebih kecil.

"Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama agar sebilangan kecil ini yang membuat nama baik kita tercemar diberikan "ganjaran" yang setimpal dan mereka yang menggoda penjawat awam ini harus juga diberi balasan yang setimpal," tegas beliau.

Dianggarkan bahawa rasuah boleh menyebabkan kos sebanyak RM10 bilion setahun atau satu hingga dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar, apabila keputusan perniagaan, seperti pemberian kontrak, perolehan dan sebagainya, dilakukan dengan tujuan yang tidak betul, kata Mohd Sidek.

-- BERNAMA

No comments: