26 April 2010

Bilangan Penjawat Awam Terbabit Rasuah Berkurangan

ALOR SETAR, 26 April (Bernama) -- Usaha kerajaan untuk memerangi budaya rasuah terutamanya dalam kalangan penjawat awam semakin menunjukkan hasil apabila bilangan penjawat awam terlibat dalam jenayah itu mencatatkan penurunan sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah, Datuk Idrus Jaafar berkata ini berdasarkan perangkaan tangkapan ke atas penjawat awam terlibat kes rasuah di seluruh Malaysia dari tahun 2007 hingga tahun 2009.

Pada tahun 2007, daripada 591 yang ditangkap atas kesalahan rasuah, sebanyak 303 orang atau 51 peratus daripadanya adalah penjawat awam dan jumlah itu menurun kepada 282 orang pada 2008 dan 194 orang pada 2009, katanya semasa melancarkan kempen Perangi Pemberi Rasuah di sini Isnin.

"Ini jelas menunjukkan bahawa tahap kesedaran penjawat awam terhadap kesalahan rasuah dan tanggungjawab memerangi jenayah ini semakin meningkat," katanya.

Idrus berkata antara faktor yang membawa kepada peningkatan kesedaran itu ialah program kesedaran yang dianjurkan kerajaan dan SPRM.

Katanya penjawat awam tidak melaporkan perbuatan rasuah boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih sepuluh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada majlis itu, 11 penjawat awam dari pelbagai agensi penguatkuasaan menerima Sijil Penghargaan daripada SPRM kerana telah menunjukkan integriti yang tinggi iaitu menolak pemberian rasuah dan melaporkan kes rasuah kepada SPRM.

Sementara itu di JOHOR BAHARU, Pengarah SPRM Johor Simi Abdul Ghani berkata jumlah kakitangan awam di negeri ini yang ditahan kerana rasuah mencatatkan penurunan kepada 15 orang pada tahun lepas berbanding 30 orang pada 2008.

Jumlah pertuduhan rasuah terhadap penjawat awam di negeri ini juga menurun kepada 14 pertuduhan pada tahun lepas berbanding 29 pertuduhan pada 2008, katanya semasa merasmikan kempen perangi rasuah di sini hari ini.

Beliau berkata penjawat awam kini semakin berani tampil melaporkan tawaran rasuah sehingga membawa kepada tangkapan ke atas pemberi rasuah.

Pada majlis itu, 20 anggota dan pegawai agensi penguatkuasaan di Johor menerima sijil penghargaan SPRM.

Di SHAH ALAM, Pengarah SPRM Selangor Datuk Ja'afar Mahad berkata sebanyak 16 individu ditahan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini kerana cuba memberi rasuah kepada penjawat awam.

Beliau berkata berdasarkan perangkaan SPRM bagi tempoh 10 tahun lepas, sejumlah 866 orang telah ditangkap atas kesalahan cuba menyogok penjawat awam di mana secara puratanya seramai 87 orang ditahan bagi setiap tahun membabitkan jenayah itu.

"Bilangan penjawat awam yang ditahan membabitkan kesalahan menerima rasuah juga berkurangan iaitu seramai 37 penjawat awam pada 2007, pada 2008 membabitkan 25 orang dan hanya tujuh yang ditahan pada tahun lepas," katanya semasa merasmikan kempen perangi rasuah di sini hari ini.

Pada majlis itu, tiga individu dianugerahi piala dan sijil penghargaan SPRM. Mereka ialah Inspektor Siti Fairuz Ahmad Yunan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Munawar Kabir Mohd Zainal Abidin iaitu Pengurus Besar Jabatan Perkhidmatan Risikan Tenaga Nasional Bhd dan Muhammad Fithry Hassan, Penolong Pengawal Bekalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Selangor.

Di KUANTAN, Pengarah SPRM Pahang Moh Samsudin Yusof berkata tanggapan "menjaga tepi kain orang" perlu dikikis daripada pemikiran masyarakat masa kini dalam membantu membanteras jenayah rasuah.

Beliau berkata setiap individu mempunyai kewajipan untuk melaporkan sebarang kejadian rasuah dan mereka yang terlibat kepada pihak berkuasa.

"Setiap orang perlu berubah dengan tidak lagi duduk ditahap lama dengan anggapan tidak payah sibuk-sibuk jaga tepi kain orang, jaga tepi kain sendiri sudahlah.

"Mulai sekarang, kita kena jaga tepi kain orang kerana di bawah Akta SPRM Seksyen 25 (2) menjelaskan tentang kewajipan seseorang itu untuk melaporkan sebarang pemberi rasuah yang diketahui," katanya pada perasmian kempen perangi rasuah di sini, hari ini.

Di IPOH, SPRM Perak berjaya menahan 23 orang atas kesalahan rasuah bagi tempoh Januari hingga April tahun ini dengan 11 daripada mereka adalah penjawat awam.

Pengarah SPRM negeri Nooraziah Abd Manaf berkata sepanjang tahun lepas pula, seramai 37 orang ditahan kerana kesalahan itu dengan 21 daripadanya adalah penjawat awam.

Usaha membanteras jenayah itu memerlukan kerjasama semua pihak termasuk media cetak dan elektronik, katanya semasa merasmikan kempen perangi rasuah di sini hari ini.

"Usaha membanteras rasuah yang dilakukan SPRM ini turut dimasukkan dalam enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang sekaligus membuktikan komitmen jitu kerajaan dalam memerangi gejala berkenaan," katanya.

Di KANGAR, Pengarah SPRM Perlis Yusof Shamsuddin berkata sepanjang tahun lepas, SPRM negeri menahan lima individu termasuk dua penjawat awam.

-- BERNAMA

No comments: