26 April 2010

Pengarah JKR Kelantan Maut Selepas Lawat Tapak Projek

JELI, 26 April (Bernama) -- Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Datuk Zulkifli Ahmad, 56, terbunuh manakala tiga yang lain cedera ringan apabila pacuan empat roda yang dinaiki mereka dirempuh sebuah treler dalam kejadian di Kilometer 98 jalan Kota Baharu-Machang-Grik, petang Isnin.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.45 petang ketika mangsa dan rakan-rakan dalam perjalanan pulang ke Kota Baharu selepas melawat Projek Kampung Baru Sungai Satan dekat sini.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas terpelanting keluar dari kenderaan terbabit.

"Tiga lagi yang cedera ringan ialah Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bisnes), Datuk Paduka Ir Mohamad Hussin, Ketua Pengarah Projek Jalan, Wan Mohamad Husni Abdullah dan pemandunya Mohd Sharif @ Abdul Rahman Ismail.

"Ketiga-tiga mangsa yang mengalami cedera ringan dikejarkan ke Hospital Jeli (HJ) untuk menerima rawatan kecemasan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama tiga yang lain dalam perjalanan pulang ke Kota Baharu selepas singgah makan tengah hari di sebuah kedai berhampiran dengan stesen minyak Shell dekat Jeli.

Menurutnya, ketika pemandu kenderaan itu membuat pusingan U untuk pulang ke Kota Baharu, sebuah treler yang datang dari arah Tanah Merah tiba-tiba merempuh bahagian kanan kenderaan yang dinaiki mangsa.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa terpelanting keluar dari kenderaan berkenaan dan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala. Tiga yang lain, hanya cedera ringan dan telah dibenarkan pulang," katanya.

Amir Hamzah berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke HJ untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya yang tinggal di Kampung Paya Senang, dekat sini.

Difahamkan jenazah mangsa akan dibawa balik ke rumah ibu bapanya di Labok, Machang untuk dikebumikan.

Amir Hamzah berkata, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Di BACHOK, seorang tukang masak wanita maut apabila motosikal yang ditungganginya terlanggar sebuah lubang di tengah jalan semasa hujan di sini pagi ini.

Rokiah Ismail, 52, ketika itu dalam perjalanan untuk menghantar nasi goreng di dalam periuk kira-kira 10 pagi ke sebuah pusat jagaan harian di Kampung Pohon Tanjung, Perupok.

"Terdapat satu lubang di jalan kecil berturap menuju ke Kampung Pohon Tanjung yang digenangi air, menyebabkan mangsa tidak nampak lubang berkenaan lalu melanggarnya sehingga terbalik motosikalnya," kata Ketua Polis Daerah Bachok, DSP Yahya Saleh.

Beliau berkata mangsa meninggal di tempat kejadian ekoran cedera teruk di kepala.

Mangsa mempunyai 11 anak dan enam daripada mereka masih bersekolah sementara suami mangsa merupakan seorang nelayan.

Mayat Rokiah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panjang, Perupok malam ini.

-- BERNAMA

No comments: