28 April 2010

Hadkan Tempoh Bertugas Penjawat Awam Di Sesuatu Tempat - Cuepacs

PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan mencadangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar tempoh bertugas penjawat awam yang berurusan dengan orang ramai dihadkan kepada tiga hingga lima tahun berbanding 10 hingga 15 tahun sekarang.

Presidennya Omar Osman berkata, ini kerana tempoh bertugas yang terlalu lama di satu-satu tempat akan mendedahkan mereka kepada amalan rasuah.

"Penjawat awam yang mempunyai tugas melibatkan pelanggan seperti menjaga penerimaan borang tender, bahagian kewangan, mereka tidak perlu duduk di tempat itu selama-lamanya.

"Kadang-kadang di satu tempat sehingga 10 tahun, dan apabila sudah sampai tempoh itu, mereka sudah dikenali oleh pihak yang berkepentingan," katanya di sini Rabu.

Omar yang sebelum itu menemui Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abu Kassim Mohamed, berkata cadangan tersebut akan dikemukakan kepada JPA selepas Kongres Cuepacs pada Jun ini.

Beliau berkata langkah itu juga sejajar dengan matlamat kesatuan sempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei ini yang mahu mencapai sasaran sifar rasuah dalam kalangan warga perkhidmatan awam menjelang hujung tahun ini.

"Kita tidak mahu lagi penjawat awam dituduh seolah-olah yang meminta rasuah tetapi kita mahu jadi pelapor utama kepada SPRM jika wujud amalan rasuah di tempat kerja masing-masing," katanya.

Statistik menunjukkan penjawat awam yang ditangkap atas kesalahan rasuah mencatatkan penurunan dalam tempoh tiga tahun iaitu 303 pada tahun 2007, 282 pada 2008 dan 194 orang pada tahun lepas.



-- BERNAMA

No comments: