05 March 2010

Sistem pengambilan pendidik ketepikan pengalaman mengajar

ISU yang saya tulis ini bukan bertujuan mempertikaikan sistem sedia ada cuma untuk menarik perhatian pihak terbabit dan mungkin juga pegawai atasan serta organisasi kelolaannya direnungkan. Saya sebagai rakyat biasa memahami sistem pengambilan guru yang dipraktikkan kementerian selama ini berkesan dan berjaya melahirkan ramai guru profesional dalam menjayakan tugas masing-masing.

Malangnya kaedah ini memberi impak berbeza bagi sesetengah golongan yang mempunyai bakat dan keinginan sebagai guru serta mempunyai pengalaman mengajar, tetapi tidak mempunyai latihan perguruan.

Satu kisah untuk renungan. Isteri saya graduan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan. Beliau amat meminati bidang perguruan dan mohon menjadi guru selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi gagal. Percubaan kedua selepas tamat pengajian peringkat diploma juga gagal terpilih memasuki maktab perguruan. Isteri saya ditawarkan ke Universiti Sains Malaysia (USM) untuk melanjutkan pelajaran peringkat ijazah.

Minatnya menjadi guru masih belum terpadam dan pada semester akhir, isteri mula mencari ruang membolehkan cita-citanya sebagai pendidik tercapai. Berdasarkan ingatan, isteri enam kali menduduki peperiksaan Mtest melalui permohonan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan tiga kali memohon Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI), tetapi tidak berkelayakan menduduki ujian Medsi.

Pengalaman mengajar bermula pada 2005 lagi, asalnya hanya guru ganti yang dibayar tangga gaji SPM dan kontraknya sentiasa disambung kerana ada keperluan dan mulai 2008 baru dapat berkhidmat sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT).

Beliau mengajar pelbagai subjek di lima sekolah. Pada pendapat saya, menjadi guru bukan saja perlu bijak mengajar, tetapi pandai mendidik dan berfungsi sebagai ibu bapa kedua kepada pelajar.

Bukan semua guru yang dilatih berdasarkan peperiksaan perguruan yang dapat melayani semua kerenah pelajar. Ada guru menangis apabila keluar kelas kerana dibuli pelajar. Beliau sudah mula menyatakan kebimbangan kerana sudah berusia 30 tahun, risau jika kontraknya tidak akan disambung lagi. Di sini timbul persoalan adakah sistem pengambilan guru tidak menepati dan mengetepikan elemen pengalaman yang beliau ada selama lebih kurang empat tahun.

AMIR SAAD,
Parit Buntar.

1 comment:

GSTT 2010 said...

Adakah masih ada sistem 'RECOMMENDED' untuk diserap?