08 March 2010

Rumah Persekutuan tak patut diswastakan

Berita Harian

KEMUDAHAN penginapan rumah Persekutuan yang disediakan kerajaan, di bawah Bahagian Pengurusan Harta-nah, Jabatan Perdana Menteri amat berpatutan dan mampu disewa semua golongan khususnya kumpulan sokongan.

Rumah tumpangan Persekutuan yang dimaksudkan seperti yang ada di Port Dickson, Negeri Sembilan, Cameron Highlands, Pahang dan Morib, Selangor.

Kemudahan diberikan kepada penjawat awam amat membanggakan untuk menghargai khidmat dan keistimewaan sebagai kakitangan kerajaan.

Dalam hal ini suatu yang amat mendukacitakan apabila diberitakan semua rumah tumpangan Kerajaan Persekutuan akan diambil alih pengurusan swasta secara berperingkat bermula di Port Dickson iaitu Rumah Tumpangan Kerajaan Persekutuan Tanjung Pia, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Apa yang menyedihkan sewa yang dikenakan tentu berkali ganda berbanding sekarang.

Ini terbukti apabila bangunan baru yang sudah diswastakan, kadarnya seolah-olah seperti hotel lima bintang yang jauh daripada kemampuan penjawat awam khususnya kumpulan sokongan.

Bangunan lama yang belum diswastakan mengandungi 20 bilik hanya menunggu masa diswastakan dan difahamkan pelaksanaannya mungkin dalam Mei atau Jun ini, yang akan menidakkan keistimewaan penjawat awam yang menikmatinya sejak sekian lama.

Kerajaan, khususnya Jabatan Perdana Menteri harus mengkaji sedalam-dalamnya hal ini.

Jangan hanya pentingkan keuntungan semata-mata dengan tidak memikirkan keperluan dan kebajikan kakitangan awam yang juga mempunyai keinginan serta nalu-ri sama seperti juga orang lain tetapi atas kadar kemampuan yang berbeza.

INSAN PRIHATIN,
Kuala Lumpur.

No comments: