Ada pihak menganggap pelantikan sebagai pengetua sekolah satu bebanan
Berita HArian
TIDAK dapat dinafikan, sektor perguruan adalah kumpulan kakitangan awam yang paling banyak mendapat publisiti berbanding kakitangan awam lain, terutama dari segi kenaikan pangkat atau gred jawatan lebih tinggi menerusi penstrukturan semula kementerian berkenaan.
Namun, masih ada suara sumbang di sektor itu yang mendakwa tersisih, terutama pegawai pengurusan sekolah seperti pengetua dan penolong kanan yang berasakan diri mereka tidak mendapat ganjaran sewajarnya.
Beberapa pengetua dan penolong kanan mendakwa pengisian jawatan pengetua baru serta penolong kanan sekolah menengah sejak sedekad lalu tidak lagi menerusi kenaikan pangkat, sebaliknya hampir semua pengetua yang dilantik di kalangan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) gred DG48 Khas Untuk Penyandang (KUP).
Difahamkan, Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pelajaran iaitu jabatan yang dimonopoli sepenuhnya kumpulan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang mengurus proses kenaikan pangkat pegawai perkhidmatan pendidikan, hanya perlu menukar status DG48 (KUP) kepada DG48 (Hakiki) ketika melantik PPPS menjadi pengetua.
Selesai proses itu, pegawai berkenaan mendapat elaun pengetua sebanyak RM150 sebulan. Tangga gaji dan elaun lain kekal seperti ketika mereka menyandang jawatan guru DG48 KUP. Pengetua baru yang dilantik di sekolah yang ada kemudahan kuarters pengetua, elaun rumah mereka dipotong separuh kepada RM350 kerana diwajibkan tinggal di kuarters manakala elaun kos sara hidup (Cola) turut berkurangan separuh mengikut kategori tempat bertugas.
Akibatnya, ramai calon pengetua berkelayakan menolak tawaran dilantik sebagai pengetua dan sebaliknya sanggup bertugas sebagai penolong kanan atau guru biasa hingga pencen. Hakikatnya, mereka enggan memikul beban tugas pentadbiran yang berat sedangkan faedahnya tidak setimpal, malah imbuhan kewangan semakin susut.
Kesimpulannya, pelantikan pengetua bukan proses kenaikan pangkat, sebaliknya dianggap satu penderaan untuk kekal pada tangga gaji tertentu kerana PPPS perlu melalui tempoh perkhidmatan minimum sehingga 20 tahun sebelum menyandang gred DG48 KUP.
1 comment:
surat tukar dari KUP ke hakiki takkan dikeluarkan oleh BPSM yang "DIMOPOLY OLEH PTD" sekiranya tidak dapat cadangan dari JPN yang dimonopoly oleh DG...
Post a Comment