05 March 2010

Penarikan tajaan jejas peluang guru

BERDASARKAN surat bertarikh 10 Disember 2009 nombor rujukan KP (BB) 700-1/9 Jilid A (16) jelas menyatakan Bahagian Tajaan Pendidikan, Kementerian Pelajaran menangguhkan semua program latihan guru dalam bentuk Hadiah Latihan Persekutuan (HLP), Sarjana Kepengetuaan, Sarjana Muda Pendidikan Khas dan Diploma Siswazah Dalam Penyalahgunaan Dadah (Spada) pada 2010.

Ini bermakna guru yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang sarjana dan kedoktoran mulai 2010 tidak akan diberi bantuan kewangan seperti sebelumnya. Jelas ini langkah ke belakang yang diambil bahagian tajaan. Dalam pada Perdana Menteri mahu sistem pendidikan bertaraf dunia dan guru dilatih dengan aspek pendidikan terkini, keputusan ini jelas dibuat secara terburu-buru.

Apa yang dibimbangkan keputusan bahagian tajaan itu tidak dimaklumkan kepada Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran. Bukti yang menunjukkan Menteri Pelajaran begitu prihatin ialah beliau dengan serta-merta meluluskan peruntukan RM89 juta selepas mengetahui Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) memansuhkan 11 jenis sukan.

Saya amat yakin jika Perdana Menteri tahu hal ini, beliau tidak akan membenarkan bahagian tajaan KPM melakukan sesuka hati bertentangan prinsip kerajaan iaitu 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. Perdana Menteri dan timbalannya bukan seperti pemimpin pembangkang yang hanya tahu bercakap konon mereka pembela rakyat, tetapi tidak melakukan apa-apa untuk rakyat.

Saya yang ingin melanjutkan pengajian sarjana menerusi HLP begitu kecewa dengan sikap Bahagian Tajaan kementerian. Saya hampir mencapai usia 40 dan bimbang jika tiada biasiswa untuk HLP. Guru tidak berpeluang untuk memperbaiki ilmu mereka. Saya juga mendapat tahu rakan saya yang sedang melanjutkan pengajian di Institut Aminuddin Baki (IAB), Genting Highlands juga dinafikan hak mereka. Mereka yang sedang belajar 1 Julai 2009 sepatutnya diberi biasiswa untuk ke Institut Pengajian Kepengetahuaan Universiti Malaya (IPKUM) dalam bidang Sarjana Kepengetahuaan pada Julai 2010, tetapi malangnya turut dinafikan bahagian tajaan. Begitu juga dengan program Spada turut dibatalkan

Apakah bahagian tajaan lupa mereka yang terbabit dengan dadah biasanya dalam usia yang muda atau ketika zaman persekolahan. Bagaimana guru ingin mencegah perkara ini jika kursus seperti ini juga ingin ditiadakan? Apa pula halnya dengan guru yang ingin menyambung pelajaran dalam bidang pendidikan khas? Kita kekurangan guru dalam bidang itu, tetapi hal ini dipandang sepi bahagian tajaan. Adakah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tahu mengenai tindakan bahagian tajaan ini?

GURU KECEWA,
Kedah.

No comments: