01 March 2010

Kakitangan lesap lebih setahun masih dibenarkan bertugas

Berita Harian

TINJAUAN Berita Harian mendapati hampir setiap kakitangan awam ditemui ada kisah peribadi mengenai permasalahan dengan Perintah Am atau Pekeliling dan rata-rata kecewa kerana tidak banyak berubah walaupun ia kerap dibangkitkan.

Malah, tidak kurang juga yang khuatir menjadi sasaran pegawai atasan mereka sekiranya membicarakan secara terbuka mengenai kepincangan pelaksanaan Perintah Am atau Pekeliling di jabatan masing-masing.

Majoriti berpendapat, apa saja perubahan atau penambahbaikan prosedur yang dilakukan tidak bermakna sekiranya budaya kerja pegawai dan kakitangan awam tidak diubah.

Paling banyak rungutan adalah berkaitan Bab D Perintah Am bagi menangani masalah disiplin dan salah laku kakitangan awam sekarang yang disyorkan dimansuh dan diganti dengan Akta Pekerja Sektor Awam yang memberi kuasa kepada Ketua Jabatan untuk mengambil tindakan disiplin kepada pekerja membuat sebarang salah laku dalam masa 14 hari seperti yang terkandung dalam Akta Pekerja 1955.

Akta Pekerja Sektor Awam hendaklah diwujudkan dengan peraturan penyediaan garis panduan pelaksanaan tindakan terhadap pekerja supaya ketua jabatan dapat melaksanakan kuasanya tanpa teragak-agak.

Ketua jabatan mempunyai kuasa mengeluarkan surat tunjuk sebab, menggantung kerja, mengadakan siasatan dan mengenakan hukuman jika sabit kesalahan. Semua proses ini perlu diselesaikan dalam masa 14 hari seperti termaktub dalam akta itu.

Proses sekarang melalui peruntukan Perintah Am dikatakan mengambil masa lama dan menjadikan kakitangan yang melakukan kesalahan tidak takut dan bimbang.

Inilah rungutan disuarakan seorang kakitangan yang sudah bertugas 20 tahun di Hospital Selama, Perak, yang hairan dengan tindakan pengurusan pentadbiran hospital itu menerima semula kakitangan yang gagal hadir bertugas tanpa sebarang kebenaran selama lebih setahun.

“Setahu saya, mengikut Perintah Am, tindakan buang kerja boleh diambil terhadap kakitangan tidak hadir bertugas selama tujuh hari berturut-turut tanpa kebenaran tetapi dalam kes ini tiada tindakan langsung walaupun beberapa aduan dibuat.

“Malah, saya dan rakan sekerja lain yang membuat aduan diberi amaran dan disuruh letak jawatan saja kalau tidak puas hati. Saya hanya kakitangan sokongan yang bergantung penuh kepada pekerjaan ini bagi menyara keluarga dan tidak berupaya menentang pegawai atasan.

“Kami juga bertindak nekad membuat laporan kepada pengurusan tertinggi selepas tiada tindakan pada peringkat jabatan tetapi kami pula menjadi mangsa dari segi kekangan kenaikan pangkat serta gaji,” katanya.

Aduan kakitangan berkenaan yang kini diuruskan pihak kesatuannya enggan mendedahkan identiti kerana akan bersara tidak lama lagi dan khuatir pencennya terjejas jika terus memanjangkan isu itu.

2 comments:

safwan said...

kalau penjawat awam yang pernah letak jawatan, masihkah boleh diterima untuk kembali bertugas dalam perkhidmatan awam sekiranya merayu?

Anonymous said...

bagaimana pula sekiranya ketidak hadiran tanpa sebab yg bukan tujuh hari berturut - turut dan kurang dari tujuh hari?apakah tindakan yang sewajarnya?