08 March 2010

Pegawai syariah wajar ditempatkan di kedutaan

Berita Harian

Rakyat bermastautin di luar negara boleh berurusan perkara berkaitan perundangan Islam

MASYARAKAT Islam di negara kita dewasa ini agak kompleks. Mereka tidak hanya tinggal di dalam negara, malah sering ke luar negara atas pelbagai urusan. Perubahan ini berlaku sejajar dengan perkembangan dan kemajuan dikecapi Malaysia.

Malah sesetengah rakyat Malaysia pula bermastautin di luar negara. Ada juga yang melangsungkan perkahwinan di luar negara dan tidak kurang juga yang menghadapi krisis rumah tangga di sana. Kedutaan Malaysia di luar negara serta Pejabat Pesuruhjaya Tinggi dan Konsul sering menjadi tumpuan bagi menyelesaikan permasalahan ini.

Namun pegawai yang bertugas di sana bukanlah seorang yang berkelayakan membantu dalam hal-ehwal undang-undang syariah. Walaupun ada pegawai agama ditempatkan di kedutaan Malaysia di luar negara, pegawai ini tidak berkemahiran dalam undang-undang Islam, kehakiman dan mahkamah syariah. Mereka juga tidak didedahkan sepenuhnya dengan tatacara di mahkamah syariah.

Dalam hal demikian, satu kajian dilakukan bagi mengkaji pewujudan fungsi mahkamah syariahdi kedutaan, pejabat pesuruhjaya tinggi dan konsul Malaysia di luar negara. Buat masa ini tidak ada peruntukan undang-undang yang jelas bagi menyokong saranan ini walaupun keperluannya dapat dilihat.

Oleh itu beberapa peruntukan undang-undang harus dipinda untuk membolehkan pengiktirafan dibuat ke atas saranan ini. Syor mewujudkan fungsi mahkamah syariah di kedutaan Malaysia di luar negara sudah pun dibuat bagi memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia yang memerlukannya.

Antara perkhidmatan boleh diberikan ialah menyalurkan maklumat mengenai prosedur perkahwinan, perceraian, penjagaan anak, tuntutan nafkah, pusaka dan hibah. Begitu juga dengan permohonan kebenaran berkahwin di luar negara, wali hakim, aduan rumah tangga dan perkhidmatan mediasi.

Ada banyak kes membabitkan rakyat Malaysia beragama Islam bermastautin di luar negara dan mereka sering menghadapi masalah dan kelewatan kerana keterangan tidak dapat diambil di mahkamah syariah di Malaysia. Untuk mereka pulang ke tanah air semata-mata bagi memberi keterangan mungkin adalah amat tidak praktikal dan membabitkan kos tinggi.

Pegawai syariah ditempatkan di kedutaan Malaysia di luar negara dapat membantu hakim mencapai keputusan yang adil dan cepat, mengambil keterangan semasa perbicaraan, menguruskan kes secara sistematik dan menasihati rakyat Malaysia yang menghadapi masalah di luar negara.

Pegawai syariah juga boleh bertindak sebagai penasihat kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara dalam hal ehwal Islam. Sudah tentu persekitaran tidak Islamik di luar negara mengundang pelbagai persoalan berhubung kedudukan sebenar undang-undang Islam itu sendiri.

Cadangan ini pernah dibuat Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sebelum ini dan kajian sudah

dilakukan. Namun pelaksanaannya masih belum dibuat. Diharapkan kehadiran pegawai syariah di Kedutaan Malaysia di luar negara, perjalanan kes di mahkamah syariah dapat disegerakan di samping menjimatkan kos kepada rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara.

Mereka tidak perlu berulang alik ke tanah air semata-mata bagi menghadiri perbicaraan di mahkamah. Bagi merealisasikan saranan ini Akta Pentadbiran Agama Islam, Akta Undang-Undang Keluarga Islam dan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah hendaklah dipinda. Ini bertujuan memberi pengiktirafan terhadap siasatan dan perbicaraan dijalankan Pegawai Syariah di luar negara.

Namun kekangan utama mungkin bukan datang dari sudut undang-undang atau pegawai itu sendiri. Masalah paling utama ialah kos dan bebanan kewangan yang perlu digalas pihak kerajaan sekiranya ingin melaksanakan saranan ini. Walau apapun, kerajaan perlu meneliti saranan ini dengan mendalam dan objektif kerana ia memberi manfaat kepada rakyat Malaysia di luar negara.

Buat permulaan ini tumpuan harus diberikan kepada negara yang mempunyai bilangan rakyat Malaysia beragama Islam yang besar kerana mereka lebih memerlukan perkhidmatan ini.

Saya amat menyokong sekiranya pegawai syariah ditempatkan di kedutaan Malaysia di luar negara. Dengan cara ini juga kelengahan yang sering dihadapi dapat diminimumkan di samping itu juga ia memberi ruang lebih besar kepada Pegawai Syariah dalam konteks kenaikan pangkat dan peluang sampingan lain.

Masalah rumah tangga tidak hanya melanda pasangan suami isteri yang tinggal di dalam negara. Dengan kebebasan dan budaya yang berbeza di luar negara, ada kalanya ia juga antara faktor yang mempengaruhi hubungan suami isteri antara pasangan Islam yang bermastautin di luar negara. Keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya salah seorang pasangan suami isteri itu, bukan rakyat Malaysia.

# Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui email di zainul.rijal@abubakar.my

No comments: