Elak penjawat awam jumud
Utusan Online
PUTRAJAYA 9 Mac – Kerajaan akan mengkaji konsep Perkhidmatan Bukan Guna Sama (closed service) bagi mengelakkan penjawat awam menjadi jumud, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, ini kerana para penjawat terbabit sudah terlalu selesa dengan kedudukan masing-masing akibat tidak dapat lagi meningkat dalam kerjaya masing-masing.
“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu memberi lebih perhatian kepada (hal) ehwal pembelajaran berterusan, peningkatan kemahiran, perancangan kejayaan dan peluang meningkatkan kerjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam amanatnya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-11 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Najib berkata, para penjawat awam muda terutama yang terlibat tugas-tugas diplomasi dan rundingan antarabangsa perlu didedahkan dengan pengalaman yang secukupnya.
“Melentur buluh biarlah dari rebungnya dan jangan melihat sebagai satu kerugian menghantar pegawai-pegawai muda ini untuk terlibat dengan rundingan antarabangsa kerana dengan cara ini sahaja mereka dapat menimba pengalaman.
“Sehubungan itu, para penjawat awam hendaklah juga dari semasa ke semasa memahirkan diri dengan menguasai pelbagai bahasa,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengarahkan supaya satu kajian komprehensif dibuat terhadap penggunaan sistem ‘pool’ yang wujud sebagai alat tindakan pentadbiran bersifat menghukum.
Katanya, elemen keadilan semula jadi (natural justice) iaitu hak untuk didengar dan dinilai secara berkecuali perlulah menjadi sebahagian daripada prosedur.
No comments:
Post a Comment