Pegawai Kerajaan Dipecat Secara Sah - Mahkamah Persekutuan
PUTRAJAYA, 10 Mac (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan pada hari Rabu memutuskan pemecatan seorang pegawai kerajaan dibuat secara sah kerana dia telah memohon prosedur yang salah dalam memulakan tindakan undang-undang terhadap majikannya untuk mendapatkan remedi berhubung pemecatannya.
Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria yang bersidang bersama panel tiga hakim iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri James Foong Cheng Yuen memutuskan pegawai kerajaan yang dipecat mesti memfailkan kes mereka dengan cara semakan semula kehakiman dan bukan melalui writ saman.
Ekoran keputusan ini, pegawai kerajaan yang dipecat mesti memfailkan kes mereka dalam tempoh 40 hari daripada tarikh pemecatan mereka seperti yang termaktub di bawah Aturan 53 Kaedah 3(6) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi.
Pegawai kerajaan, Ahmad Jefri Mohd Jahri @ Md Johari, yang ketika itu bertugas di Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan cawangan Johor dipecat sebagai kakitangan kerajaan pada 2001 ekoran kegagalannya untuk hadir bekerja.
Ahmad Jefri kemudiannya mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengarah Kementerian cawangan Johor dan dua lagi pihak kerana memecat beliau secara tidak sah melalui writ saman dan pernyataan tuntutan.
Ahmad Jefri memohon deklarasi bahawa pemecatannya adalah terbatal, dia masih seorang pegawai kerajaan di kementerian, ganti rugi, faedah dan kos.
Bagaimanapun, tuntutannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi atas alasan prosedur yang salah. Mahkamah Tinggi memutuskan Ahmad Jefri harus mengambil tindakan undang-undang melalui semakan semula kehakiman di bawah Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi.
Ahmad Jefri tidak boleh memulakan tindakan undang-undang dengan cara semakan kehakiman kerana syarat-syarat ketat dikenakan, untuk memfailkan kes itu dia mesti mengemukakan permohonan dalam tempoh 40 hari daripada tarikh dia dipecat.
Bagaimanapun, Ahmad Jefri, yang kini tidak bekerja, memfailkan kes saman itu dua tahun kemudian.
Dia telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan selepas rayuannya ditolak di Mahkamah Rayuan.
Ketika menolak rayuan Ahmad Jefri, Hakim Foong dalam penghakiman setebal 41 muka surat berkata tuntutan Ahmad Jefri untuk pelanggaran haknya hanya semata-mata berdasarkan undang-undang awam dan dengan itu dia seharusnya memfailkan kes itu dengan cara semakan semula kehakiman.
Hakim itu berkata Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi harus dipatuhi kecuali dalam keadaan terhad dan luar biasa.
Foong berkata kaedah yang sesuai untuk mengemukakan tuntutan bagi pelanggaran hak yang hanya berdasarkan prinsip substantif undang-undang awam adalah melalui semakan semula kehakiman.
Hakim berkata sekiranya ia mengandungi campuran undang-undang awam dan swasta mahkamah harus menentukan yang manakah lebih berpengaruh, dan menambah sekiranya isu itu mempunyai elemen undang-undang awam yang lebih kukuh jadi prosedur yang tepat untuk digunakan adalah melalui semakan semula kehakiman.
Bagaimanapun, sekiranya isu itu di bawah undang-undang swasta, walaupun melibatkan pihak berkuasa awam, mengambil tindakan melalui semakan semula kehakiman adalah tidak sesuai.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment