15 March 2009

Salleh Ketuai PGA, Pengurusan Sempadan Dan Keselamatan LTAB

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Salleh Mat Rasid hari ini dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pasukan Gerakan Am/ Pengurusan Sempadan/Kawalan Keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB), yang merupakan satu jawatan baru yang diwujudkan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata pengwujudan jawatan tersebut adalah selaras dengan keputusan Kabinet April tahun lepas yang mahukan supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal semua pintu masuk negara.

Katanya antara tugas penjawat jawatan itu termasuk mengetuai Pasukan Gerakan Am (PGA) yang mengandungi lima briged, pengoperasian dan perancang strategik selain menentukan dasar kawalan keselamatan LTAB di negara ini.

Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas upcara pemakaian pangkat Salleh daripada SAC 1 kepada Deputi Komisioner Polis (DCP) di Markas Briged Tengah PGA, Cheras, di sini.

"Selain itu, penjawat juga bertanggungjawab merancang dan membuat dasar bagi pelan tindakan strategik untuk menangani semua bentuk krisis keganasan dan ancaman keselamatan terhadap mana-mana bangunan terminal dan pesawat udara.

"Beliau juga akan mengetuai dan mengkoordinasi pasukan tindak balas kimia, biologi, radioaktif, nuklear dan bahan letupan," katanya.

Kewujudan unit ini, kita dapat mencegah jenayah dan menentukan keselamatan dari sempadan lagi, katanya.

Musa berkata pengambilalihan tugas kawalan keselamatan di empat LTAB oleh PDRM menunjukkan kesan yang positif dan efektif apabila ia berjaya meningkatkan tahap keselamatan serta menurunkan angka jenayah.

"Jenayah kekerasan menurun sebanyak 55 peratus iaitu 11 kes manakala jenayah harta benda pula menurun sebanyak 36 peratus iaitu 72 kes," katanya.

Musa berkata seramai 2,000 pendatang tanpa izin dari pelbagai negara berjaya ditahan oleh PGA menerusi Operasi Cegah Jenayah (MAMBA) yang dilancarkan di seluruh ngeraa pada dua bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata PGA kini juga bekerjasama dengan polis marin dalam membuat rondaan berkesan di perairan sekitar Sabah dan Sarawak bagi mengelak kemasukan pendatang asing tanpa izin dan jenayah di laut.

"Bagi Semenanjung pula, PGA membuat rondaan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) secara sistematik bagi memastikan tugas rondaan tidak bertindih.

"Selain itu, pengkalan marin juga kini dinaiktaraf sebagai balai polis di mana sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini di lautan, laporan polis boleh terus dibuat di situ," katanya.

Katanya, dalam usaha pengurusan sempadan darat pula, sebanyak empat pusat operasi telah dibuka yang beroperasi secara 24 jam iaitu di Pengkalan Kubor, Rantau Panjang, Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam

Dalam perkembangan lain, Musa memberi amaran keras kepada pengendali laman blog yang berani melanggar dan mencabar undang-undang negara dengan mencemuh mana-mana individu termasuk Sultan bahawa mereka akan dikenakan tindakan tegas.

"Kita sentiasa memantau internet justeru sesiapa sahaja yang kita dapati berbuat demikian, kita akan ambil tindakan. Jika mereka suka sangat fitnah orang, maka beranilah menerima akibat atas perbuatan mereka," katanya.

-- BERNAMA

No comments: