Ibrahim Yahaya Ketua Pengarah Penyiaran baru
Utusan Online
KUALA LUMPUR 16 Mac - Penasihat Media Menteri Penerangan, Datuk Ibrahim Yahaya (gambar) dilantik Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran yang baru berkuat kuasa hari ini.
Ibrahim menggantikan Datuk Abdul Rahman Hamid yang dilantik Penasihat Penyiaran Digital kepada Menteri Penerangan mulai 2 Januari lalu.
Kenyataan Bahagian Perhubungan Awam Kementerian Penerangan menyebut, pelantikan Ibrahim berdasarkan pengalaman luas beliau dalam bidang media dan penyiaran.
Ibrahim pernah memegang beberapa jawatan dalam media sebelum ini antaranya sebagai Pengarang Kanan Berita Publishing Sdn. Bhd. dan Pengurus Ehwal Semasa dan Penyiaran TV3.
Tambah kenyataan itu, pelantikan tersebut sejajar dengan penstrukturan semula Jabatan Penyiaran yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mulai 1 Januari lalu.
Di bawah penstrukturan semula ini, JPA telah meluluskan Gred Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) B bagi kedua-dua jawatan iaitu Timbalan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik) dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi Penyiaran).
Sementara itu, kata kenyataan itu lagi, Pengarah Urusan Rancangan TV, Datuk Norhayati Ismail dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik) berkuat kuasa 25 Februari lalu.
Beliau menggantikan Datuk Adilah Shek Omar yang ditukar sebagai Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) mulai 2 Januari lalu.
Pelantikan Adilah bertujuan merancang dan memperkasakan IPPTAR menjadi institusi penyiaran dihormati di peringkat antarabangsa.
No comments:
Post a Comment