17 May 2009

Kuota guru, pengetua cemerlang ditambah

Berita Harian


MUHYIDDIN (tiga dari kiri) bersama Ahmad (dua dari kiri), Alimuddin (tiga dari kanan) berbual dengan penerima anugerah Tokoh Guru 2009 dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2009, dari kiri, Datuk Abdul Rahim Tahir, Phua Seng Tiong, Shahul Hamid Mydin Shah dan Tan Sri Asiah Abu Samah pada sambutan Hari Guru Kebangsaan di Kuala Terengganu, semalam.

Tanda penghargaan, insentif kerajaan kepada pendidik sumbang bakti

KUALA TERENGGANU: Kerajaan meluluskan pertambahan 2,141 kuota jawatan guru dan pengetua cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah di sekolah menengah di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pertambahan kuota perjawatan itu adalah sebagai tanda penghargaan dan penghormatan kepada guru dan kerajaan berharap insentif itu dapat mendorong mereka mengamalkan budaya kerja lebih cemerlang.

"Tidak dapat dinafikan bahawa kebajikan serta laluan kerjaya menjadi faktor utama motivasi guru untuk terus menyumbang bakti kepada masyarakat dan negara," katanya ketika merasmikan sambutan Hari Guru 2009 peringkat kebangsaan yang bertemakan "Guru Pembina Negara Bangsa" di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Dengan penambahan kuota itu, perjawatan untuk guru dan pengetua cemerlang meningkat daripada 5,984 sebelumnya kepada 8,125 sekarang.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata kerajaan bersetuju mewujudkan jawatan guru cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah yang berkhidmat di sekolah rendah.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, Pegawai Perkhidmatan Bukan Siswazah juga akan menikmati laluan kerjaya sama apabila kerajaan selesai melakukan kajian mengenainya tidak lama lagi.

"Untuk kumpulan bukan siswazah, ia masih pada peringkat rundingan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kementerian. Saya harap sesuatu yang baik dapat diputuskan segera. Bila diputuskan nanti, kita akan umumkan segera," katanya.

Muhyiddin berkata, selaras dengan hasrat mewujudkan masyarakat penyayang, kerajaan setuju memanjangkan Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (EKMLTK) kepada pasangan pegawai yang berkhidmat di sekolah pedalaman mulai 1 Mac 2009.

Katanya, bayaran insentif RM200 turut dibayar kepada Pembantu Pengurusan Murid yang bertugas di sekolah kebangsaan pendidikan khas dan program pendidikan khas integrasi di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan. Bayaran insentif itu dikebelakangkan sejak 1 Januari 2009.

Mengenai bahasa Melayu, Muhyiddin berkata, kerajaan komited untuk memartabatkannya sebagai bahasa ilmu dan bahasa kebangsaan itu juga perlu menjadi teras kepada jiwa negara, bangsa serta diperkasakan sebagai bahasa perpaduan.

"Pada masa sama, kerajaan juga komited mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar bagi menjadikan mereka lebih kompeten menghadapi persaingan globalisasi.

"Selaras hasrat kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu, selain mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan latihan perguruan berfokus bahasa Melayu di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Bahasa Melayu, sementara latihan berfokus bahasa Inggeris akan dijalankan di empat IPGM terpilih," katanya.

Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran sedang membangunkan kurikulum yang menumpukan kepada perkembangan potensi pelajar secara holistik dengan memberikan lebih banyak peluang kepada mereka untuk meneroka bidang ilmu menerusi proses pembelajaran yang lebih menyeronokkan serta tidak berorientasikan peperiksaan semata-mata.

"Transformasi Kurikulum Kebangsaan untuk sekolah rendah yang akan dilaksanakan tidak lama lagi menumpukan pembelajaran dalam disiplin komunikasi, kerohanian, sikap dan nilai, kemanusiaan, ketrampilan diri, fizikal dan estetika serta literasi sains dan teknologi," katanya.

No comments: