22 May 2009

Tambahan 1,486 jawatan guru cemerlang lulus

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan tambahan 1,486 kuota jawatan guru cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPLD) di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan terbaru Kabinet itu menyusuli ketetapan kerajaan 16 Mei lalu mengenai pertambahan 2,141 kuota jawatan guru dan pengetua cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah di sekolah menengah seluruh negara.

"Saya tidak dapat umumkan pertambahan untuk PPLD ini lebih awal kerana Kabinet baru saja membuat keputusan mengenainya selepas mendapat maklum balas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Kita harap insentif ini dapat mendorong mereka mengamalkan budaya kerja lebih cemerlang," katanya dalam sidang media selepas merasmikan kejohanan olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Ke-51, di sini, semalam.

Penambahan diumumkan itu merangkumi 600 kuota jawatan guru cemerlang bagi PPLD Gred DGA32 iaitu daripada 3,200 kepada 3,800 dan bagi PPLD Gred DGA34 pula berlaku 150 pertambahan iaitu daripada 800 kepada 950, manakala di bawah PPLD Gred DGA38, 237 jawatan baru guru cemerlang diwujudkan.

Selain itu, 10 peratus daripada kuota setiap gred kepada PPLD yang berkhidmat di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Pendidikan Daerah diperuntukkan bagi jawatan guru cemerlang.

No comments: